KUALA LUMPUR – Berapa kerapkah kita mengalami rasa kecewa apabila mesej cuba disampaikan tidak difahami? Kekecewaan ini sering kali hadir bersama rasa geram, bengang dan marah kerana sesungguhnya manusia hanya mahu difahami.
Mungkin kekecewaan itulah dialami oleh kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dikenali sebagai Kit dalam menjalani kehidupan di Kampung Kuantan, Kuala Selangor yang terkenal dengan habitat kelip-kelipnya.
Mempunyai ibu bapa yang normal, Kit bersembunyi dalam dunia tanpa suara, melayan kesedihan melihat rakan-rakan sebaya berbincang mengenai sekolah, bersendirian.
Ibu Kit, Fiza, melakukan apa sahaja yang seorang ibu mampu lakukan untuk menarik anaknya keluar dari dunia senyapnya dengan menggalakkan Kit mempelajari bahasa isyarat.
Kit dan Fiza mungkin hanya watak dalam dunia imaginasi Bea dan Yasu Tanaka, pasangan suami isteri yang menulis dan mengarah filem magiK, yang bersiar pada 30 November lalu, namun isu-isu yang diangkat di dalam filem itu adalah isu semasa kehidupan.

Semasa menghadiri tayangan perdana filem magiK pada Selasa (21 November), Bea menjelaskan kepada penonton yang magiK merupakan projek yang dekat di hati mereka dan mengambil masa lebih kurang tiga tahun untuk disiapkan dan dipersembahkan kepada peminat filem tempatan.
Ditanya mengapa beliau memilih untuk mengutarakan kisah gadis pekak, Bea berkata, “Latar belakang saya sebagai guru yang mengajar pelajar-pelajar pekak selama 15 tahun banyak menyumbang. Saya banyak belajar daripada kanak-kanak dan komuniti cacat pendengaran dan berhasrat untuk berkongsi pengalaman saya dengan semua orang dan membawa mereka ‘melihat’ dan ‘mendengar’ dunia mereka.”
Beliau berkata pekak bukanlah satu kecacatan tetapi ia adalah keupayaan berlainan kerana perkara yang membezakan antara mereka dan orang lain hanyalah kaedah komunikasi, iaitu bahasa isyarat, sambil menambah hanya kerana kita tidak memahami mereka tidak bermakna mereka cacat.
Menurut Yasu pula, huruf K dalam tajuk filem ini sengaja dibesarkan bagi merujuk kepada ‘komunikasi’ di antara Kit dan kelip-kelip di kampungnya dan juga dalam kalangan watak-watak lain di dalam filem.
“Setiap hari kita sentiasa ingin berkomunikasi, mahu mengenali sesama sendiri dengan lebih baik, tetapi kadangkala ia tidak mudah untuk berlaku. Apa yang kita boleh lakukan adalah teruskan berusaha dan percaya.
“Saya harap kisah itu akan memberikan para penonton keberanian untuk terus mencuba dan mempercayai apa sahaja kepercayaan mereka,” kata Yasu, sambil menambah magiK merupakan ‘versi kecil’ filem garapan Steven Spielberg bertajuk Close Encounters of the Third Kind diterbitkan pada 1977 yang menjadi inspirasi kepadanya untuk menjadi seorang pengarah filem.
Filem magiK membariskan pelakon handalan seperti Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Mak Mah, Roy Azman dan pendatang baharu, Qisya Hairulzain yang melakonkan watak Kit. – Bernama

