LOS ANGELES, 8 Nov – Giannis Antetokounmpo menghasilkan aksi menarik dengan 40 mata tetapi ia tidak cukup untuk menghentikan LeBron James dan Cleveland Cavaliers dari melakarkan kemenangan ke atas Milwaukee Bucks semalam.
Aksi luar biasa Antetokounmpo, yang juga melibatkan sembilan ‘rebound’ dan tiga asis, mengancam untuk mengetepikan Cavs ketika mereka berusaha untuk kembali bangkit dari kekalahan mengejut pada Ahad lalu kepada Atlanta Hawks.
Tetapi 30 mata dari James dan 32 mata dari Kevin Love membantu pasukan Cavs untuk bertahan bagi kemenangan 124-119 di Quicken Loans Arena, Cleveland.
James dan Antetokounmpo berada dalam persaingan peribadi mereka dalam tempoh yang lama dalam persaingan yang menarik dan menamatkan dengan jumlah yang sama.
James kemudian mengakui Antetokounmpo, 22, kelahiran Athens, dengan nama samaran ‘The Greek Freak”, mustahil untuk disaingi.
“Dia melakukan serangan bertali arus buat beberapa minit ketika berada di atas gelanggang,” kata James.
“Anda perlu meletakkan beberapa pemain di depannya dan kemudian bila anda meletakkan beberapa pemain di depannya, dia masih lagi berjaya menjaringkan gol. Dia hebat dalam perubahan dan hebat untuk berada di jaring.”
Pertandingan dengan jaringan tinggi itu menyaksikan tiga pemain Cleveland yang lain menghasilkan jaringan dua digit, dengan J.R. Smith mencatatkan 20 mata dan Derrick Rose dan Dwyane Wade masing-masing mencatatkan 10.
Antetokounmpo, sementara itu, dibantu dengan 22 mata dari Malcolm Brogdon dan 20 dari Khris Middleton.
Cleveland memperbaiki kedudukan kepada 5-6 dengan kemenangan itu, sementara Bucks merosot kepada 4-6. Dalam perlawanan lain semalam, Harrison Barnes menghasilkan 31 mata ketika pasukan Dallas Mavericks menewaskan Washington Wizards.
Pasukan Mavs, pemilik bagi rekod terburuk liga 1-10 dalam perlawanan, memastikan kemenangan 113-99 selepas menghasilkan serangan suku keempat yang lewat. – AFP