Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Magis Edwards, Towns julang Timberwolves

    LOS ANGELES, 29 MEI – Anthony Edwards berjaya mencatatkan 29 mata dan Karl-Anthony Towns menghasilkan jaringan penting dengan lontaran jarak jauh pada saat-saat genting untuk membantu Minnesota Timberwolves menewaskan Dallas Mavericks 105-100, semalam, sekali gus menghidupkan kembali siri final Western Conference NBA mereka.

    Timberwolves, yang ketinggalan 3-0 dalam siri terbaik daripada tujuh perlawanan sebelum perlawanan keempat, berjaya menahan kebangkitan lewat Mavericks untuk mencatatkan kemenangan penting di gelanggang tuan rumah, Dallas.

    Edwards mengetuai kutipan mata Minnesota, namun sumbangan penentu datang daripada Towns, yang berjaya mencatatkan tiga lontaran tiga mata untuk membantu Timberwolves mendahului 98-92 dengan perlawanan berbaki kurang dari dua minit.

    “Perlawanan keempat, ketinggalan 3-0, ini bukan masanya untuk mempunyai sebarang keraguan,” kata Towns.

    “Saya hanya mahu keluar dan bermain agresif serta yakin setiap kali melakukan lontaran,” tambahnya.

    Aksi Towns pada perlawanan tersebut di Pusat Penerbangan Amerika di Dallas , Texas. – AFP

    “Dari segi pertahanan, saya mahu menjadi setegas mungkin. Dan dalam serangan – jangan hilang keyakinan dan agresif,” jelasnya.

    Selepas Towns meletakkan Minnesota enam mata di hadapan, Edwards menambah jurang kepada 100-92 dengan lontaran tepat pada baki 1 minit 47 saat, membolehkan pasukan pelawat mengawal permainan.

    Namun, masih ada masa untuk Dallas memberikan cabaran akhir yang mencemaskan, menghampiri kedudukan 100-97 sebelum Edwards menyempurnakan lontaran pull-up dari jarak 21 kaki, meletakkan Timberwolves lima mata di hadapan dengan baki 40 saat.

    Pasukan pelawat mengekalkan kelebihan tersebut hingga wisel penamat dan kini mempunyai peluang tipis untuk terus bersaing apabila mereka kembali ke Minneapolis untuk perlawanan kelima pada esok.

    Edwards berkata dia bertekad untuk menghalang Dallas daripada mencatat kemenangan bersih.

    “Saya tidak pernah tewas tanpa balas dalam kerjaya saya, walaupun saya telah tiga kali ke playoff,” kata Edwards kepada televisyen TNT. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...