BARCELONA, 2 Mei – Lionel Messi membawa Barcelona selangkah ke final Liga Juara-Juara selepas meledak dua ketika gergasi Sepanyol itu menumpaskan Liverpool 3-0 di Nou Camp, pagi tadi dan Liverpool memerlukan keajaiban untuk melangkah ke peringkat seterusnya.
Bekas penyerang Reds, Luis Suarez membuka tirai jaringan pada pertengahan babak pertama peringkat separuh akhir pertama itu sebelum Messi menambah dua lagi gol pada babak kedua.
Keputusan menyaksikan Liverpool berdepan laluan getir untuk mara sekali pun mereka tampil dengan persembahan yang baik di Catalonia.
Gol kedua Messi, menerusi jaringan jarak jauh menakjubkan berpunca sepakan percuma adalah gol ke-600 buat Barca dalam semua kejohanan.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp hanya mampu tersenyum melihat jaringan berkenaan selepas skuad kendaliannya dilihat berjaya mengimbangi perlawanan terutama pada babak pertama.

Pada awal separuh masa kedua, Liverpool menguasai permainan dan berupaya untuk meledak gol di tempat lawan tetapi cubaan Mohamed Salah sekadar menggegar palang.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi Rabu minggu depan bagi aksi kedua di gelanggang Reds, Anfield.
“Bagaimana kami memberikan mereka masalah adalah mengagumkan. Saya tidak tahu sama ada kami boleh bermain lebih baik daripada itu,” kata Klopp.
“Tetapi ada satu ketika di mana Messi menjaringkan gol mudah dan yang kedua memang tidak mampu diselamatkan.”
“Mereka tidak perlu memikirkan tentang perlawanan seterusnya menentang Barcelona. Kini kami akan menentang Newcastle.
“Itu tumpuan kami. Kami pergi ke hotel, tidur nyenyak, bangun pada pagi, pulang ke rumah dan bersiap sedia untuk berdepan Newcastle. Apapun yang berlaku, saya amat bangga dengan mereka.” – AFP