Tak ubah kembali pada masa silam ketika irama rock menjadi fenomena, begitulah gambaran tatkala berada dalam Konsert Rock On 40 The Legends yang menampilkan Datuk Awie, Ella, Muss dan gitaris berbisa, Man Kidal di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Sabtu lalu.
Genre rock asli yang agak tenggelam sejak beberapa tahun ini dilihat menyumbang kepada kehadiran ramai peminat tegar yang mahu melepaskan kerinduan. Kesunyian pada awal menyelubungi segenap sudut Panggung Sari, IB dipecahkan dengan pukulan dram dan gorengan gitar Ritz Metalasia tepat jam 9:15 malam.
Bagaikan kejutan dalam jiwa yang lama terlena, ia sekali gus membangkitkan mood dalam diri setiap penonton.
Selang beberapa detik, muncul susuk tubuh Muss di atas pentas, sekali gus auditorium meriah dengan sorakan lebih 1,000 penonton yang hadir.
Tidak cukup itu, Muss, 54, yang juga bekas vokalis May terus membuat peminat tidak keruan dengan lontaran suaranya menerusi lagu Sinar yang menjadi antara karya malar segar yang berjaya membolosi pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) pada 2003.
Muss atau nama sebenarnya, Mustaffa Din bagaikan memahami kehendak penonton apabila menyanyikan Gadis Bertudung Putih daripada album Rahsia terbitan 1990 yang juga pernah menjadi lagu kegilaan ramai.
Penyanyi kelahiran Ipoh yang mengenakan seluar dan jaket kulit hitam persis rockers sejati itu menutup tirai persembahan menerusi dua lagu, Biru Mata Hitamku dan Cintamu biarpun penonton jelas masih belum puas.
Bagaimanapun, suasana terus menjadi hingar bingar apabila Ratu Rock, Ella mula menapak ke atas pentas dengan lontaran vokal menerusi lagu Permata Biru petikan dari album studio pertama berjudul Pengemis Cinta 1989. – Agensi