HUNGARORING, 18 JULAI – Pemandu Formula Satu (F1) kelahiran Denmark, Kevin Magnussen, akan meninggalkan pasukan Haas pada penghujung musim apabila pembuat kereta Amerika Syarikat (AS) itu mengumumkan semasa menjelang Grand Prix (GP) Hungary.
“Pasukan F1 MoneyGram Haas mengesahkan Kevin Magnussen akan meninggalkan tempat perlumbaannya selepas tamat kontrak semasanya pada penghujung Kejohanan F1 Dunia FIA 2024,” tulis pembuat kereta yang berpangkalan di Carolina Utara itu di X.
Magnussen akan meninggalkan pasukan yang diwakilinya dalam 135 GP sepanjang tujuh musim pada penghujung kempen F1 yang akan berlangsung di GP Abu Dhabi awal Disember.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang dalam Pasukan F1 MoneyGram Haas, saya berbangga kerana telah berlumba untuk pasukan yang begitu hebat beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Magnussen.
“Secara khususnya saya ingin mengucapkan penghargaan kepada Gene Haas (pengasas pasukan) atas komitmennya kepada saya, terutamanya dalam membawa saya kembali sekali lagi pada 2022 apabila saya fikir, pada masa itu bahawa karier saya dalam Formula 1 telah berakhir. Saya telah menikmati waktu yang hebat bersama pasukan ini di mana ia merupakan kenangan yang tidak akan saya lupakan,” tambah pemandu berusia 31 tahun itu.
Keputusan terbaik yang pernah dicapai Magnussen untuk Haas ialah apabila berada dua kali pada kedudukan kelima di Bahrain dan Austria pada musim 2018, di samping menduduki tempat kesembilan dalam kedudukan pemandu keseluruhan.
Pemergian pemandu Denmark itu adalah susulan daripada pemergian rakan sepasukan dari Jerman, Nico Hulkenberg. Justeru, ini bermakna Haas akan menampilkan barisan pemandu baharu tahun depan.
Dalam pada itu, pasukan pembuat kereta AS tersebut mengumumkan ketibaan pemandu Britain berusia 19 tahun, Oliver Bearman, awal Julai, dan pemandu Alpine Perancis, Esteban Ocon yang juga merupakan pilihan untuk mengambil tempat kedua Haas. – AFP










