Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Pelajar, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (MPP KUPU SB) dengan kerjasama Nadi Al Qawi Al Amin Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan (NAQAA FPSK) serta Kelab Fikrah Fakulti Usuluddin (KEFU) baru-baru ini mengadakan satu lagi aktiviti bersempena Ihya Ramadan KUPU SB, iaitu Mahabbah Ramadan.
Mahabbah Ramadan merupakan sebuah program berkonsepkan khidmat masyarakat di luar kampus dengan pengagihan sumbangan juadah makanan iaitu bubur ayam.
MPP KUPU SB, NAQAA FPSK, dan KEFU bekerjasama dalam menyediakan juadah itu daripada proses penyediaan, memasak hingga pembungkusan.
Juadah tersebut kemudiannya diagihkan ke enam buah masjid terpilih di Daerah Brunei dan Muara.
Dengan adanya program berkenaan, ia diharap dapat menjadi amal ibadah di bulan suci Ramadan yang penuh berkah dan mendapat rahmat serta ganjaran daripada Allah SWT.