Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Kumpulan Mahad Islam Brunei, Tutong dengan tajuk cerita ‘Teknologi Membangun Generasi Bermaklumat’ berjaya memikat hati penonton dan juri sekali gus meletakkan mereka sebagai johan dalam peringkat akhir Pertandingan Cerita Berkumpulan 2018, hari ini.
Manakala itu, Kumpulan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD) dengan tajuk cerita ‘Kasih Tersisih’ diumumkan sebagai naib johan dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dengan tajuk cerita ‘Bangkitlah ke Arah yang Berwawasan’ menduduki tempat ketiga.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan yang berlangsung di Dewan PM Dato Shariffuddin, Arkib Negara.
Juara pertandingan membawa pulang wang tunai $600, manakala naib johan menerima wang tunai $500 dan tempat ketiga menerima $400, masing-masing berserta sijil penyertaan.
Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Hajah Sariani binti Haji Ishak yang juga pengerusi majlis menjelaskan, pertandingan dengan tema ‘Generasi Bermaklumat’ ini diadakan setiap dua tahun sekali oleh Bahagian Perpustakaan, DBP khusus untuk remaja dan belia berumur 12 hingga 20 tahun.

Antara lain tujuan peraduan itu diadakan adalah untuk menggalakkan golongan berkenaan mencintai buku dan membudayakan sikap rajin membaca dalam kehidupan sepanjang hayat.
“Setiap kumpulan akan mempersembahkan cerita dalam bentuk lakonan sketsa atau teater yang dalamnya mempunyai unsur budaya dan seni tradisional seperti syair, pantun, Diangdangan dan sajak,” tambahnya.
Dengan adanya peraduan ini, beliau seterusnya menambah, ia dapat mencungkil bakat semula jadi atau kebolehan yang dimiliki oleh remaja dan belia dalam menghadiri sebuah sketsa yang berkualiti.
Di samping itu juga dapat menajamkan minda mereka untuk berfikir bagi menghasilkan idea yang mungkin tidak terfikir oleh penonton dengan jalan cerita yang baik dalam sebuah karya penulisan.
Peraduan ini juga dapat mengembangkan penggunaan Bahasa Melayu dengan baik, sekali gus dapat membentuk belia remaja dengan budaya kerja berpasukan.
Beliau seterusnya menambah, pada tahun ini, 16 kumpulan menyertai pertandingan berkenaan yang terdiri daripada ahli-ahli perpustakaan, penuntut sekolah menengah dan maktab.