Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 20 NOV – Sebagai penghargaan atas pencapaian cemerlang para pelajar dan guru-guru, Mahad Islam Brunei melalui Bahagian Akademik telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang dan Sijil di Dewan Besar, sekolah tersebut, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.
Seramai 148 orang pelajar telah menerima hadiah bagi pelbagai pencapaian cemerlang dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR), Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB), dan Brunei Cambridge GCE O Level sepanjang 2021.
Manakala seramai 114 orang pelajar menerima hadiah galakan mata pelajaran dan seorang pelajar dianugerahkan pelajar terbaik keseluruhan termasuklah Anugerah Pelajar Mithali.
Turut diraikan ialah seramai 67 orang guru atas usaha yang dicurahkan sepanjang pembelajaran tahun lalu.
Antara tujuan majlis berkenaan adalah sebagai penyuntik semangat pelajar dan motivasi agar mereka berusaha lebih gigih pada masa akan datang.
Ia juga sebagai bukti keberhasilan usaha dan pengorbanan guru-guru dalam mendidik para pelajar dan penghargaan kepada ibu bapa yang sentiasa menyokong dan memberi semangat kepada anak-anak.
