Penyanyi Mahalini kesal apabila dituduh lebih mementingkan kecantikan berbanding menguruskan anaknya iaitu Selina susulan badannya kelihatan langsing hanya selepas tiga bulan bersalin.
Jelas Mahalini, dia sendiri tidak tahu mengapa tubuhnya cepat langsing seperti anak gadis kerana tidak melakukan sebarang senaman atau diet ketat sepanjang tempoh berpantang.
“Apa yang menghairankan saya, ada tuduh saya sibuk nak cantikkan diri. Hey! Saya sendiri pun tak tahu macam mana berat badan saya turun.
“Tapi saya beruntung sebab ada Iky (panggilan suami) yang sering memberikan sokongan kepada saya,” katanya.
Mahalini berkongsi perkara itu menerusi hantaran yang dimuat naik di Broadcast Channels Instagram miliknya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Sial ini mengakui keputusan menyembunyikan wajah anaknya juga adalah satu pilihan tepat bagi mengelakkan kecaman warganet.

“Setiap kali ada acara keluarga, Selina sering diumpat. Maaf saya sensitif sangat. Kesal. Maklumlah baru bergelar ibu.
“Keputusan untuk tidak berkongsi foto anak dan tidak memperlihatkan bagaimana saya menguruskan anak di belakang kamera ternyata sangat tepat.
“Tak tunjuk wajah anak pun sudah menerima banyak kecaman, apa lagi kalau saya kongsikan kepada semua,” tulisnya.
Untuk rekod, Mahalini mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Rizky Febian pada 5 Mei 2024 dalam sebuah acara gilang gemilang di Jakarta, Indonesia.
Bagaimanapun Rizky dan Mahalini bernikah sekali lagi pada 27 Disember 2024 selepas pernikahan mereka didapati tidak sempurna dari segi rukun nikah ditetapkan dalam agama Islam. – Agensi