TOKYO, 30 April – Maharaja Akihito Jepun, hari ini secara rasmi turun takhta, sekali gus menjadi anggota monarki tertua di dunia melepaskan tahkta dalam tempoh 200 tahun ketika puteranya Naruhito bersedia menaiki Takhta Bunga Kekwa bagi memimpin era baharu Maharaja Jepun.
Di dalam ‘Bilik Pine’ di Istana Maharaja di Tokyo, monarki berusia 85 tahun berkenaan menyempurnakan ritual turun takhta di hadapan alat kebesaran diraja iaitu sebilah pedang kuno dan permata suci.
Akihito dengan mantel pagi gaya Barat, berdiri di atas pentas kecil di hadapan kerabat diraja dan jemputan khas sambil menyampaikan ucapan terima kasih paling mendalam kepada rakyat Jepun. Dalam ucapan itu, beliau berkata akan berdoa untuk keamanan dan kebahagiaan semua orang di Jepun dan seluruh dunia. Maharani Michiko dengan gaun warna putih dan perak pula berdiri di sisinya. Akihito kemudian membantu maharani yang berusia 60 itu turun dari pentas.
Perdana Menteri Shinzo Abe ketika memuji pasangan diraja itu berkata mereka telah menawarkan keberanian dan harapan kepada rakyat Jepun terutama pada masa-masa penuh dugaan dan penderitaan.
Walaupun hujan turun berterusan di Tokyo, beratus-ratus warga Jepun berkumpul di luar Istana semasa berlangsungnya majlis bersejarah yang dihadiri kira-kira 300 orang.
“Saya benar-benar emosi,” kata, seorang pekerja bank berusia 50 tahun, Yayoi Iwasaki yang berdiri di luar istana.
“Pada masa lalu, pertabalan menyusul selepas kemangkatan maharaja dan orang ramai tidak pasti sama ada harus bergembira meraikannya atau sebaliknya tetapi dengan peralihan ini, saya yakin kami boleh meraikannya sambil menyambut era baharu,” katanya.
Akihito secara teknikal masih kekal sebagai maharaja hingga tengah malam ini sebelum Naruhito mengambil alih dan era baharu ‘Reiwa’ yang bermaksud ‘keharmonian yang indah’ bermula.
Awal hari ini, Akihito dengan jubah warna keemasan sambil memakai topi hitam mengumumkan turun takhta kepada nenek moyangnya dan dewa-dewa Shinto di beberapa tempat suci di istana.
Pada Rabu, Naruhito yang berusia 59 tahun akan menerima alat kebesaran diraja dalam upacara yang berlangsung selama 10 minit yang bukan sahaja tidak dihadiri kerabat diraja wanita, bahkan isterinya Masako.
Naruhito sebagai maharaja Jepun yang ke-126 selepas itu akan segera menyampaikan ucapantamanya kepada negara.
Orang ramai dijangka berkumpul menunggu detik era baharu di luar istana dan di persimpangan daerah Shibuya yang meriah di Tokyo. – AFP