TOKYO, 2 Jan – Maharaja Jepun Akihito, akan menyerahkan ‘Takhta Kekwa’ kepada anak lelakinya tahun depan, menerima sorakan daripada berpuluh ribu pengunjung dengan ucapan selamat Tahun Baru pada hari ini di Istana Imperial.
“Selamat Tahun Baru,” kata maharaja berusia 84 tahun itu dari perkarangan istana. “Beta berharap tahun ini akan terbukti memuaskan untuk seberapa mungkin ramai orang.”
Putera Mahkota Naruhito dan isterinya hadir di sisi maharaja. Masako, bekas diplomat, telah menderita akibat stres dan sering tidak hadir dalam acara awam. Masih tidak jelas bagaimana beliau akan menyesuaikan diri dengan peranannya sebagai maharani pada masa akan datang.
Maharaja jarang turun daripada takhta di Jepun, kali terakhir adalah pada 200 tahun lalu. Ayahanda Akihito, Maharaja Hirohito, mangkat pada tahun 1989 akibat sakit.
Penurunan Akihito dari takhta pada 30 April 2019, selepas baginda meluahkan hasrat untuk bersara disebabkan faktor umur dan kesihatan.
Kemunculan pada Tahun Baru adalah satu peluang yang luar biasa untuk rakyat memberi salam kepada maharaja di perkarangan istana, dan tahun ini dijangka menarik lebih ramai orang daripada biasa disebabkan persaraan baginda. Kemunculan lain seumpama itu adalah pada hari keputeraan baginda pada Disember.
Peranan Maharaja adalah simbolik selepas kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua, dan baginda dan keluarga maharaja tidak mempunyai kuasa politik.
Naruhito dan Masako mempunyai seorang puteri, Puteri Aiko, tetapi hanya lelaki yang boleh mewarisi takhta. Kegagalan Masako melahirkan seorang putera dipercayai berkaitan dengan masalah stres yang dihadapinya. – AP