Sunday, September 29, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maharaja dan Maharani Jepun mulakan lawatan negara ke Britain

    LONDON, 26 JUN – Maharaja dan Maharani Jepun disambut dengan perbarisan kehormatan yang penuh dengan istiadat ketenteraan ketika lawatan negara baginda berdua ke Britain bermula, kelmarin, di London, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Raja Britain, Raja Charles III dan Permaisuri Camilla menyambut Maharaja Naruhito dan Maharani Masako di Perbarisan Pasukan Askar Berkuda dengan beberapa rejimen tentera paling berprestij negara itu dipamerkan.

    Kedua-dua ketua negara itu berjabat tangan dengan mesra begitu juga permaisuri masing-masing di bawah pavilion besar yang dibina khas untuk melindungi daripada terik matahari musim panas.

    Lawatan negara selama tiga hari itu diadakan di tengah-tengah pilihan raya umum. Semasa pemerintahan Ratu Elizabeth II selama 70 tahun, tiada lawatan negara diadakan pada masa yang sama dengan pilihan raya umum.

    Seorang pegawai Kementerian Luar Jepun berkata lawatan maharaja dan maharani itu bukan lawatan politik dan diharapkan dapat mewujudkan ‘hubungan mesra merentas generasi’ antara Keluarga Diraja Jepun dan Keluarga Diraja Britain.

    Pada 2017, lawatan negara Raja Sepanyol Raja Felipe VI dijadualkan semula dengan segera – selepas persetujuan antara mendiang ratu dan Raja Felipe – kerana tarikh berkenaan bertembung dengan pilihan raya kilat di United Kingdom  (UK).

    Jurucakap Istana berkata program minggu ini telah ‘sedikit diubah’, menambah, “Sebagai prinsip umum, ia sudah tentu telah disesuaikan sebagai hasil daripada tempoh kepekaan prapilihan raya semasa.”

    Elemen yang tidak dimasukkan dalam lawatan negara ini, termasuk perbincangan biasa dengan perdana menteri, ucapan kepada Istana Westminster oleh ketua negara yang melawat, dan pertemuan dengan pemimpin pembangkang.

    Menunggu di dataran perbarisan adalah barisan kehormatan yang dibentuk oleh Batalion 1 Pengawal Wales yang ketika tidak menjalankan tugas istiadat, adalah askar tempur.

    Mereka disertai oleh Pancaragam Berkuda ‘Household Cavalry’ dengan Kuda ‘Drum Shire’ mereka yang hebat, mengetuai empat bahagian Pengiring Berdaulat yang cemerlang daripada  Rejimen Berkuda Household Cavalry.

    Di kejauhan kedengaran bunyi 41 das tembakan meriam hormat diraja yang dilepaskan dari Green Park oleh Pasukan Berkuda Artileri Diraja dan di Menara London, jumlah tembakan yang sama dilepaskan oleh ‘Honourable Artillery Company’.

    Lagu kebangsaan Jepun dimainkan, dan maharaja memeriksa barisan kehormatan, diiringi raja, yang berjalan beberapa langkah di belakang tetamu baginda.

    Menyaksikan daripada pavilion adalah wanita diraja, Permaisuri Camilla, memakai gaun Anna Valentine dan topi Philip Treacy, dan maharani bersama dengan tetamu kehormat yang menanti, termasuk Setiausaha Luar Lord Cameron, Setiausaha Dalam Negeri James Cleverly dan Pesuruhjaya Polis Metropolitan Sir Mark Rowley.

    Pada akhir upacara sambutan adalah perarakan kereta kuda tradisional ke Istana Buckingham di mana majlis santapan tengah hari peribadi akan diadakan.

    Kedua-dua ketua negara berangkat bersama di dalam kereta kuda utama, diikuti oleh permaisuri dan maharani.  – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda