TOKYO, 23 Dis – Dalam ucapan luar biasa penuh emosi sebelum turun takhta pada tahun hadapan, Maharaja Akihito bertitah baginda berasa ‘amat gembira’ di mana pemerintahan baginda merupakan salah satu peristiwa aman tatkala baginda mengingati ‘nyawa yang tidak terkira banyaknya’ yang tewas semasa Perang Dunia Kedua.
Akihito, dalam titah yang dirakam awal bagi memperingati hari keputeraan baginda yang ke-85 tahun hari ini, turut memberi penghormatan kepada rakyat Jepun dan Maharani Michiko, rakyat biasa yang pertama menjadi anggota keluarga imperial yang terikat dengan tradisi, berada di sisi baginda selama 60 tahun.
Suara baginda yang menggeletar ketika memperkatakan tentang legasi Perang Dunia Kedua, menekankan mengenai ‘jumlah nyawa yang tidak terkira banyaknya’ yang terkorban dalam konflik itu, yang diperjuangkan oleh ayahandanya, Hirohito, yang mangkat pada 1989.
Akihito turut mengulangi pentingnya mengenai pengajaran sejarah yang ‘tepat’ kepada anak-anak muda.
“Beta percaya adalah penting untuk tidak melupakan nyawa yang tidak terkira banyaknya yang terkorban dalam Perang Dunia Kedua dan juga keamanan dan kemakmuran yang dinikmati Jepun selepas perang yang dibina dengan begitu banyak pengorbanan dan usaha tidak henti-henti yang diwujudkan oleh rakyat Jepun termasuklah menyampaikan sejarah ini dengan tepat kepada mereka yang lahir selepas perang,” titah baginda. – AFP
