TOKYO, 1 JAN – Maharaja Naruhito dari Jepun hari ini menzahirkan harapan dalam Titah Tahun Baharu agar 2025, yang menandakan ulang tahun ke-80 tamatnya Perang Dunia Kedua, menjadi tahun yang didedikasikan untuk usaha mempromosikan keamanan dan menghargai perbezaan antara satu sama lain, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Beta percaya tahun lepas (2024) adalah tahun yang sukar, dengan bencana alam yang melanda pelbagai bahagian dunia, bermula dengan gempa bumi di Semenanjung Noto pada awal tahun, diikuti taufan dan hujan lebat, selain kenaikan harga barangan.
Dengan memikirkan mereka yang menghadapi kesulitan, beta berbesar hati melihat ramai yang terus bekerja keras membantu golongan memerlukan serta masyarakat secara keseluruhan.
Tahun ini, beta berharap kita dapat saling memahami dan menyokong, mengatasi apa sahaja cabaran yang mendatang,” titah baginda dalam titah ucapan yang disiarkan oleh Agensi Diraja Jepun.
Baginda turut menekankan bahawa 2025 akan menandakan ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia Kedua.
“Sejak tamatnya perang, kita telah membina negara yang aman dan makmur melalui usaha tanpa henti rakyat. Namun, amat menyedihkan apabila menyedari perang dan konflik masih meragut banyak nyawa di seluruh dunia.
Beta merasakan pentingnya untuk manusia saling menghargai perbezaan dan bekerjasama mencipta dunia yang aman. Beta berharap tahun baharu membawa harapan kepada rakyat negara ini dan seluruh dunia untuk terus maju ke hadapan,” titah baginda.
Maharaja Naruhito dan Maharani Masako, bersama Puteri Aiko, serta Putera Mahkota Akishino dan keluarga, menerima menghadap Perdana Menteri Shigeru Ishiba dan wakil parlimen yang menyampaikan ucapan Tahun Baharu. Pada sebelah petang, pasangan diraja itu dijadual menerima ucapan Tahun Baharu daripada duta asing ke Jepun. – Bernama