Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maharaja Jepun mahu eratkan hubungan dengan Britain

    TOKYO, 20 JUN — Maharaja Jepun Naruhito berkata kelmarin beliau ‘berbesar hati’ kerana akhirnya dapat melawat Britain selepas perjalanan itu ditangguhkan beberapa tahun akibat pandemik COVID-19.

    Beliau tidak sabar untuk menghidupkan semula persahabatannya dengan keluarga diraja Britain dan meneroka Oxford, tempat belajarnya kira-kira 40 tahun lalu.

    Naruhito dan isterinya, Maharani Masako, akan membuat lawatan selama seminggu ke Britain mulai Sabtu. Perjalanan itu pada asalnya dirancang untuk 2020 atas jemputan mendiang Ratu Elizabeth II sebagai lawatan pertama ke luar negara selepas kenaikannya ke Takhta Chrysanthemum pada 2019.

    “Beta benar-benar gembira dapat membuat lawatan ke Britain kali ini,” kata Naruhito kepada pemberita menjelang lawatan 22-29 Jun. Beliau juga berasa kesal kerana tidak dapat membuat perjalanan semasa Ratu Elizabeth masih hidup.

    Beliau berharap dapat memupuk persahabatan dengan Raja Charles III dan Ratu Camilla serta ahli keluarga diraja Britain yang lain, dan meningkatkan hubungan antara kedua-dua pihak melalui pertemuan dan pertukaran.

    Naruhito mengucapkan terima kasih kepada Raja Charles III kerana menerima kunjungan itu semasa beliau pulih daripada rawatan kanser. Beliau mendoakan kedua-dua Charles dan Catherine, Puteri Wales, yang juga sedang menjalani rawatan kanser, cepat sembuh.

    Keluarga diraja Jepun mempunyai hubungan rapat dengan keluarga diraja Britain selama tiga generasi bermula daripada datuknya, mendiang Maharaja Hirohito.

    Naruhito mengakui bahawa terdapat masa sukar apabila Jepun dan Britain bertempur di pihak lawan semasa Perang Dunia II, tetapi beliau berkata Jepun sejak itu menumpukan kepada keamanan dan kemakmuran di pentas global. Jepun dan Britain telah membangunkan hubungan kukuh dalam bidang daripada ekonomi kepada sains dan teknologi serta budaya, katanya. – AP

    Maharaja Jepun Naruhito bercakap semasa sidang media di Istana Imperial, Tokyo pada 19 Jun. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda