Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahasiswa baru lafaz ikrar

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jan – Hampir 500 orang pelajar baru Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang termasuk pelajar-pelajar antarabangsa dan UniBridge telah melafazkan ikrar mereka bagi menandakan bermulanya semester pengambilan akademik Januari 2018 pada Majlis Freshers Week yang berlangsung di Dewan Canselor UBD, hari ini.

    Pemangku Naib Canselor, Dr. Joyce Teo Siew Yean semasa menyampaikan ucapannya menyatakan dengan lafaz ikrar yang dilaungkan itu, beliau berharap para pelajar akan dapat menghayati dan mendalami makna dan pengertian ikrar tersebut kerana ianya adalah sangat penting bagi perjalanan pembelajaran mereka.

    “Bukan sahaja ianya menandakan kesediaan biskita dalam berusaha untuk mencapai kecemerlangan ilmu dan mempertinggi kecemerlangan universiti, malah juga menandakan kesungguhan biskita untuk memberikan sumbangan bakti kepada agama, masyarakat, bangsa dan negara selaras dengan sistem Melayu Islam Beraja dan seterusnya menjadi bakal aset negara,” ujarnya.

    Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa para pelajar baru di UBD akan diisikan dengan pelbagai pengetahuan dan pengalaman-pengalaman baru yang akan dapat membentuk para pelajar untuk menjadi lebih baik dan mempunyai mindset yang positif.

    Di samping itu juga, tambahnya, para pelajar akan berpeluang untuk mempunyai rakan-rakan baru dalam persekitaran baru dan ini turut membantu mereka untuk memperkembangkan lagi kemahiran masing-masing dan mempersiapkan diri untuk kerjaya masa depan.

    UBD, jelasnya lagi, bukan sahaja bermatlamat untuk membimbing pelajar mencapai kecemerlangan akademik tetapi juga membantu mereka dalam melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan dan asas yang kukuh untuk menyediakan mereka dalam menghadapi cabaran-cabaran akan datang.

    Menurutnya lagi, kejayaan para pelajar juga menjadi kejayaan UBD dan ini jelas terbukti dalam pencapaian yang baru-baru diraikan dalam menjadikan UBD disenaraikan sebagai universiti ke-349 di seluruh dunia.

    Dr. Joyce Teo Siew Yean semasa menyampaikan ucapannya pada Majlis Freshers Week di Dewan Canselor UBD.
    Mahasiswa dan mahasiswi semasa melafazkan ikrar mereka pada majlis itu.

    “Pencapaian ini begitu dibanggakan kerana UBD hanya berusia 32 tahun dan UBD akan sentiasa meneruskan dan meningkatkan lagi kejayaannya pada masa akan datang. Dengan ini, kami ingin mendapatkan sokongan daripada para pelajar agar sentiasa bersikap komited dalam sama-sama menjadikan UBD sebagai sebahagian daripada keluarga pelajar masing-masing,” tambah beliau.

    Majlis perasmian Freshers Week kemudian menyaksikan para pelajar melaungkan lafaz ikrar mereka.

    Freshers Week yang akan berlangsung sehingga 6 Januari itu merupakan acara yang diadakan untuk pelajar baru di mana mereka akan mendengarkan taklimat mengenai kehidupan di universiti dan apa yang ditawarkan UBD di samping mengetahui lebih lanjut mengenai modul-modul yang ditawarkan.

    Di samping itu, pelajar juga diberikan penerangan mengenai program GenNEXT termasuk pendaftaran dan peperiksaan di UBD selain mendengar ceramah motivasi keagamaan, Bicara Ulum Ad-Din yang disampaikan oleh penceramah dari Pusat Dakwah Islamiah.

    Pelajar baru juga dibawa melawat sekitar UBD dan perpustakaan diikuti dengan sesi perkongsian pengalaman dengan pelajar UBD yang telah mengikuti Discovery Year.

    Acara yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar itu merangkumi sesi taklimat mengenai pendaftaran kursus, peperiksaan, kelab-kelab kokurikulum di UBD, peluang Discovery Year dan penginapan kampus.

    Salah seorang pelajar antarabangsa dari Rusia, Zabelina Darya, 20, semasa ditemui menyatakan ini merupakan julung-julung kalinya beliau berada di Brunei dan melahirkan perasaan teruja untuk memulakan pengajiannya di negara ini.

    Beliau yang sebelum ini memulakan pengajiannya di Saint Petersburg State University telah meneruskan pengajiannya di negara ini melalui program pertukaran pelajar sebagai seorang mahasiswi dalam Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

    Seorang lagi pelajar antarabangsa dari Brazil, Pedro Gustono Lima, 24, turut menyatakan ini merupakan kali pertama beliau berada di Brunei dan akan meneruskan pengajiannya di sini bagi satu semester sahaja dalam program pertukaran pelajar antarabangsa UBD.

    Beliau yang mengambil kursus di Fakulti Teknologi Integrasi (FIT) menjelaskan bahawa beliau memilih UBD kerana universiti ini sememangnya amat terkenal di Brunei yang menawarkan pelbagai program yang berbeza.

    Di samping itu juga, UBD turut memberikan suasana pengajian yang teratur dan efisien malah Brunei juga merupakan sebuah negara yang aman dan makmur.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda