SERI ISKANDAR – Seramai 46 mahasiswa Universiti Teknologi Petronas (UTP) berjaya melakar sejarah apabila menempa nama dalam ‘The Malaysia Book of Records’ (MBOR) selepas berjaya membina rantaian ‘stick bomb’ terbanyak di negara ini.
Stick bomb atau anyaman bilah kayu sepanjang 703.2 meter yang terdiri daripada 30,050 ‘kayu aiskrim’ itu dianyam menjadi bentuk rantaian ‘x’ menghasilkan tindakan berantai dengan mempamerkan prinsip asas fizik berkaitan tenaga kinetik.
Pengarah Projek, Nur Shamilah Shadun Zubiar, 20, berkata, stick bomb yang dihasilkan bersama rakannya, para pelajar tahun kedua dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal itu mengambil masa tiga jam untuk dianyam dan memerlukan masa 10 minit untuk ‘dilentikkan’.
“Kita telah bersedia untuk projek ini sejak Januari. Antara cabaran utama untuk menghasilkan stick bomb ini ialah memastikan setiap peserta mahir menganyam kayu ini.
“Malah kayu ini juga sensitif terhadap kelembapan dan tidak elastik jika ia dipakai banyak kali,” katanya kepada pemberita selepas projek tersebut di Foyer Kompleks Canselori UTP, di sini, baru-baru ini.


Pengesahan rekod diumumkan wakil MBOR, Lee Pooi Leng selepas rantaian anyaman bilah kayu itu berjaya dilentik meskipun beberapa kali berdepan masalah teknikal.
Turut hadir penasihat projek, Prof Madya Dr Mokhtar Awang, merangkap pensyarah Kejuruteraan Mekanikal UTP.
Sementara itu Lee berkata, apa yang menjadi kayu ukur adalah bagaimana anyaman kayu itu dibuat, berapa panjang ia berjaya dianyam dan berapa banyak bilah kayu yang digunakan serta mekanisme yang digunapakai.
“Walaupun ada beberapa kali bilah kayu gagal dilentik, namun rekod yang diambil kira bukanlah cabaran dalam melentikkan bilah kayu sebaliknya, mekanisme, jumlah bilah, panjang serta teknik anyaman yang dibuat,” katanya.
Menurutnya lagi, syarat yang ditetapkan MBOR adalah menggunakan sebanyak 20,000 bilah kayu dengan binaan anyaman sepanjang 500 meter, tetapi kumpulan pelajar berkenaan berjaya menggunakan 30,050 bilah kayu dengan binaan sepanjang 703.2 meter melepasi tahap ditetapkan.
Untuk rekod, ini merupakan rekod MBOR yang kedua dilakar para pelajar UTP selepas berjaya membina mesin ‘great ball contraption’ terpanjang di negara ini pada April tahun lepas. – Bernama