Mahathir persoal potensi turunkan penarafan

KUALA LUMPUR, 19 April – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bingung dengan potensi penarafan kredit negara diturunkan oleh agensi penarafan berikutan keputusan kerajaan untuk menyelamatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Tabung Haji (TH) yang berdepan masalah kewangan.

“Agensi-agensi penarafan berkata dengan memberikan RM6 bilion untuk membantu syarikat adalah salah dan mereka mungkin menurunkan penarafan Malaysia, tetapi apabila Malaysia berhutang RM1 trilion, mereka tidak bercakap tentang menurunkan penarafan,” katanya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan telah menyelamatkan sejumlah besar wang dengan menyelesaikan isu berkaitan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Felda, TH dan, terbaru Bandar Malaysia.

“Saya rasa agensi-agensi penarafan mempunyai cara dan kriteria mereka sendiri (dalam menentukan penarafan kredit), tetapi hakikatnya adalah, kerajaan terdahulu telah menyebabkan defisit dalam bajet sebelum ini, tetapi mereka mengekalkan penarafan.

“Kini apabila kami cuba menyelesaikan masalah, kami diberitahu ia adalah langkah yang salah,” katanya. – Bernama