KUALA LUMPUR, 10 Feb – Lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan pergerakan penumpang sebanyak 9.98 juta pada Januari 2017, meningkat 8.9 peratus berbanding 9.17 juta dicatatkan pada bulan sama tahun lepas.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, MAHB berkata, trafik penumpang antarabangsanya mencatatkan pertumbuhan sebanyak 10.1 peratus kepada 4.7 juta penumpang pada Januari manakala trafik domestik naik sebanyak 7.9 peratus kepada 5.2 juta penumpang.
Katanya pertumbuhan dua angka Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur diteruskan dengan meningkat 38.4 peratus berbanding Januari tahun lepas.
“Pergerakan pesawat keseluruhan meningkat sebanyak 4.8 peratus dengan pergerakan antarabangsa dan domestik, masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 2.9 peratus dan 5.9 peratus berbanding Januari 2016.
“Faktor muatan keseluruhan naik kepada 73.4 peratus pada Januari 2017, meningkat sebanyak 2.7 peratus berbanding Januari tahun lepas,” katanya. – Bernama