KUALA LUMPUR, 16 Mac – Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) menyasarkan e-dagang sebagai kenderaan berpotensi untuk memacu pertumbuhan masa depan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pengarah Urusan, Datuk Badlisham Ghazali berkata, e-dagang sedang berkembang pesat dengan peningkatan kecenderungan dalam kalangan orang ramai untuk membeli-belah hampir setiap benda dalam talian.
“Semua pengamir berada di sini. Kita akan menarik dan menjemput penggiat e-dagang untuk datang ke Malaysia. Saya percaya ia akan membolehkan KLIA mencapai pertumbuhan kukuh,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, perdagangan intra Asia berkembang 6.5 peratus setahun dan e-dagang sahaja akan bernilai kira-kira AS$88 bilion (AS$1=RM4.44) menjelang 2025 di Asia.
“Penggiat e-dagang bersifat global dan kita perlu membantu mereka. Sejumlah 3,642 hektar (9,000 ekar) telah diperuntukkan untuk e-dagang, mesyuarat, insentif, persidangan, pameran (MICE) dan aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat.
“Rancangan lima tahun kami (2016-2020) akan merangkumi ketiga-tiga segmen tersebut,” tambahnya. Badlisham berkata, MAHB juga mahu KLIA mengambil manfaat daripada pertumbuhan yang sangat pesat perjalanan udara di Asia.
Menurut beliau, berdasarkan perkembangan dalam bidang perdagangan, perniagaan dan pelaburan di Asia, terdapat skop yang luas untuk pertumbuhan.
Bagi menyokong pandangan positifnya ke atas Asia, Badlisham berkata, 40 peratus daripada semua penyerahan pesawat baharu akan dilakukan di benua ini.
“KLIA berada dalam kedudukan sangat baik untuk mendapat akses kepada pasaran Asia dengan kesambungan baik ke rantau utama,” tambahnya.
Menurut MAHB, trafik penumpang ke dan dari 18 negara telah mencatat pertumbuhan dua angka dan ia termasuk United Kingdom, Vietnam, Sri Lanka, Laos, Pakistan, New Zealand, Oman, Nepal, Mauritius, Kazakhstan dan Jepun.
Terminal utama KLIA mengendali kira-kira 25.5 juta penumpang pada 2016, naik 12.8 peratus berbanding tahun sebelumnya manakala klia2, yang dikhususkan untuk syarikat penerbangan tambang murah, mengendali kira-kira 27.1 juta, naik 3.8 peratus.
Badlisham berkata, KLIA mempunyai kapasiti mengendali 40 juta penumpang dan klia2 pula 42 juta.
MAHB mencatat seramai 88.83 juta penumpang di semua lapangan terbangnya di negara ini pada 2016, iaitu peningkatan enam peratus berbanding tahun sebelumnya. – Bernama