KUALA LUMPUR, 28 Sept – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bekerjasama dengan Ant Financial Services Group dari China untuk menawarkan perkhidmatan Alipay kepada pelancong China yang melancong di negara ini.
Pengarah Urusan, Datuk Badlisham Ghazali, berkata MAHB berharap untuk mewujudkan kesedaran, meningkatkan minat dan mengukuhkan kedudukan jenamanya dalam kalangan pelancong China melalui kerjasama tersebut.
“Kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengalaman lapangan terbang bagi semua pelanggan kami. Oleh itu, melaksanakan platform pembayaran tanpa tunai Alipay menjadi langkah penting yang diambil oleh Malaysia Airports untuk melakukan transaksi runcit serta makanan dan minuman pada masa akan datang di lapangan terbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehingga kini, 55.8 peratus dan 56.7 peratus daripada outlet, masing-masing di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), menjalankan transaksi melalui Alipay.
“Setakat ini, kami menyaksikan peningkatan jualan sebanyak 25 peratus daripada keseluruhan transaksi Alipay di kedua-dua terminal tersebut dan semasa tempoh kempen membeli-belah, jualan boleh meningkat lagi sebanyak 35 peratus hingga 40 peratus,” kata Badlisham.
Beliau berkata melalui platform pembayaran Alipay, pelanggan boleh membuat pembayaran bagi transaksi mereka dalam yuan China tanpa perlu bimbang mengenai kadar pertukaran, dan dengan semua transaksi dilakukan dengan cara yang amat selamat.
MAHB memperkenalkan Chinese Traveler Welcome Pack sebagai sebahagian daripada inisiatif Total Airport Experience, termasuk maklumat mengenai promosi khas, kemudahan transit dan bagasi, lawatan bandar tempatan dan laluan cepat KUL VIP Access.
Pelancong China perlu mengemukakan pasport mereka untuk menebus pek tersebut di kaunter Bantuan Pelancong China dan Pengalaman Pelanggan di terminal KLIA dan klia2, dari pertengahan Oktober 2017 hingga Mac 2018. – Bernama