Sebut saja nama Maher Zain, pasti lagu nyanyiannya seperti Insya-Allah, Thank You Allah, Number One For Me serta banyak lagi akan mengimbau semula di fikiran penggemar lagu nasyid dan kerohanian.
Apatah lagi, lelaki kelahiran Sweden itu sudah enam tahun tidak berkunjung ke Malaysia berikutan penularan Covid-19 di seluruh dunia, termasuk kesibukannya mengatur karier seni di pentas antarabangsa.
Kini, Maher, 44, bagaimanapun sudah bersedia dan tidak sabar untuk menghiburkan kembali peminatnya di Asia Tenggara menerusi tiga siri konsert akan dijayakannya dengan dua lokasi di Malaysia dan Singapura pada Ogos depan.
Bagi penganjuran Konsert Jelajah Asia Tenggara 2025 itu, antara lokasi dipilih ialah Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 16 Ogos, diikuti berikutnya di The Star Theatre Singapore pada 21 Ogos.
Sebagai penutup tirai konsert pula, Maher akan membuat persembahan di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu pada 23 Ogos, menurut laporan Harian Metro.
Mengakui berasa sangat teruja untuk melakukan siri jelajah konsert berkenaan, Maher berkata, dia percaya kebanyakan peminatnya di Malaysia pasti sudah lama menanti kepulangannya ke negara ini.
“Saya memang tidak sabar hendak menghiburkan peminat-peminat di Malaysia kerana kebanyakan mereka sudah lama menyokong setia karier saya sejak mula datang ke sini dulu. Malah, saya bercadang selain menyanyikan lagu-lagu yang pernah hit, tentunya saya juga tidak ketinggalan akan mendendangkan lagu baru khas buat mereka semua (peminat).
“Tidak hanya itu, saya akan menyanyikan empat lagu ditujukan buat warga Palestin yang masih dalam pergolakan peperangan. Harapan saya agar ada sinar positif buat saudara kita di sana,” katanya ditemui pada sidang media secara virtual, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai pemilihan Malaysia sebagai destinasi utama konsert istimewanya, Maher berkata, negara ini mempunyai makna sangat signifikan terhadap kerjaya muziknya berbanding negara lain.
“Bagaimanapun, saya tidak pasti lagi berkaitan gimik dan tema apa yang bakal dibawa pada malam konsert itu nanti. Mungkin saya perlu berbincang dengan pihak penganjur dulu.
“Namun, bagi saya irama nasyid dan lagu kerohanian tetap masih relevan buat penggemar walaupun perkembangan industri muzik di seluruh dunia ketika ini banyak perubahan,” katanya. – Agensi
