Penyanyi terkenal kelahiran Sweden-Lubnan, Maher Zain akan kembali ke pentas Asia Tenggara menerusi Konsert Jelajah Asia Tenggara 2025 yang bakal berlangsung Ogos ini.
Konsert itu menjadi kemunculan semula Maher Zain di Malaysia selepas enam tahun, dengan persembahan yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, Singapura dan Kota Kinabalu.
Artis muzik rohaniah bertaraf antarabangsa tersebut bakal menyampaikan lagu-lagu popular seperti In shaa Allah dan Thank You Allah, serta karya baharu termasuk Qalbi Fil Madinah dan Rahmatun Lil’Alameen.
“Malaysia merupakan bab yang sangat penting dalam kerjaya saya mungkin lebih signifikan berbanding mana-mana negara lain di dunia. Hanya beberapa artis yang boleh menyatakan bahawa sesebuah negara telah memainkan peranan sebesar ini dalam membentuk permulaan kerjaya nyanyian mereka,” kata Maher Zain
Konsert itu dianjurkan oleh Yayasan Tengku Abdullah (YTA) dan mereka menyifatkan konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebagai wadah menyebarkan mesej kasih sayang, harapan dan perpaduan melalui seni muzik.
Tiket pra-daftar mula dijual pada 12 Jun, manakala jualan umum bermula 13 Jun. – Agensi


