WASHINGTON, 10 SEPT – Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) akan mendengar hujah pada November berhubung sama ada Presiden Donald Trump mempunyai kuasa untuk mengenakan tarif besar-besaran di bawah undang-undang darurat 1977, menurut dokumen mahkamah yang dikeluarkan kelmarin, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Langkah itu dibuat selepas mahkamah rayuan persekutuan memutuskan bahawa Trump tidak mempunyai kuasa untuk menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa (IEEPA) bagi mengenakan tarif terhadap import dari puluhan negara.
Mahkamah berpendapat penetapan tarif adalah tanggungjawab teras Kongres AS.
Keputusan itu hanya akan berkuat kuasa pada 14 Oktober, memberi tempoh kepada kerajaan untuk membuat rayuan ke Mahkamah Agung.
Kes tersebut berkaitan tarif khusus mengikut negara yang pertama kali diumumkan Trump pada April, menyasarkan puluhan rakan dagang AS. Pentadbiran kemudian menyesuaikan beberapa kadar, termasuk tarif 15 peratus ke atas kebanyakan import dari Kesatuan Eropah yang mula berkuat kuasa pada 7 Ogos.
Dalam rayuannya, kerajaan AS berhujah bahawa menarik balik kuasa tarif presiden akan menjejaskan perjanjian perdagangan yang dimeterai dengan enam rakan utama dan Kesatuan Eropah, dengan alasan perjanjian itu dirundingkan di bawah tekanan daripada tarif yang dipertikaikan.
Kerajaan juga menegaskan bahawa penghapusan kuasa tersebut akan mendorong negara ke ‘ambang bencana ekonomi.’
Trump sebelum ini berhujah bahawa defisit perdagangan dengan negara lain menimbulkan risiko keselamatan negara, sekali gus membolehkan beliau mengenakan tarif tanpa kelulusan Kongres. Namun mahkamah rayuan tidak bersetuju, dengan menyatakan tarif terletak dalam bidang kuasa Kongres sekali gus memberi tamparan kepada dasar perdagangan agresif Trump. – Bernama


