Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah Agung AS tunda pembayaran bantuan makanan

    WASHINGTON, 12 NOV – Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) kelmarin melanjutkan penangguhan yang mewajibkan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump membayar manfaat makanan sepanjang penutupan kerajaan persekutuan, di tengah tanda-tanda Kongres sedang bersiap sedia membuka semula kerajaan.

    Mahkamah Rendah minggu lalu memutuskan bahawa kerajaan Trump mesti membiayai sepenuhnya Program Bantuan Pemakanan Tambahan (SNAP) bagi bulan November menjelang akhir Jumaat.

    Bagaimanapun, Hakim Ketanji Brown Jackson mengeluarkan penangguhan pentadbiran bagi menghentikan sementara keputusan itu sekali gus memberikan masa tambahan kepada sistem mahkamah untuk menimbang permintaan pentadbiran supaya menangguh pembiayaan tersebut.

    Perintah yang tidak ditandata-ngani itu melanjutkan penangguhan sehingga malam Khamis, membolehkan pentadbiran Trump mengelak daripada menggunakan dana kecemasan untuk membuat pembayaran bernilai berbilion dolar kepada negeri-negeri supaya mereka dapat mengedarkan baucar makanan kepada kira-kira 42 juta rakyat AS yang bergantung kepada SNAP untuk membeli barangan keperluan.

    Agensi kerajaan AS mula terhenti sejak Kongres gagal meluluskan pembiayaan melepasi 30 September dan kesan penutupan ini semakin dirasai kerana program kebajikan tergantung.

    Bagaimanapun, Senat pada Isnin meluluskan rang undang-undang untuk membiayai kerajaan AS sehingga Januari.

    Rang undang-undang itu memerlukan kelulusan Dewan Perwakilan, yang dijangka bersidang hari ini untuk perbahasan dan kemungkinan pengundian serta tandatangan Trump sebelum kerajaan dibuka semula. – AFP

    Orang ramai berjalan melepasi Mahkamah Agung AS di Washington, DC, pada 5 November lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda