RIO DE JANEIRO, 16 MEI – Mahkamah di Rio de Janeiro memerintahkan pemecatan ketua persekutuan bola sepak Brazil, Ednaldo Rodrigues kelmarin kerana mengesyaki tandatangan dalam kontrak pekerjaannya dipalsukan.
Keputusan itu menjadi tamparan baharu kepada bola sepak Brazil, yang meraikan berita baik hanya empat hari lalu dengan pengumuman bahawa jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti akan memimpin pasukan kebangsaan bermula akhir bulan ini.
Mahkamah Rio berkata salah seorang yang menandatangani kontrak 2025 Rodrigues tidak stabil secara mental untuk menandatanganinya, bermakna ada ‘kemungkinan pemalsuan’.
Akibatnya, hakim memutuskan bahawa kontrak pekerjaan antara Rodrigues dan Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) telah ‘terbatal’ dan tidak sah.
Hakim juga memerintahkan persekutuan mengadakan pemilihan pemimpin baharu.
Presiden sementara CBF, Fernando Jose Sarney berkata dalam satu kenyataan bahawa persekutuan akan mematuhi peraturan dan melakukan pemilihan semula ‘secepat mungkin’.
Media Brazil melaporkan bahawa badan itu juga telah merayu keputusan hakim ke Mahkamah Agung.
Baik mahkamah mahupun CBF tidak bersedia untuk mengesahkan laporan tersebut.
Rodrigues memberitahu wartawan pada mesyuarat FIFA di Asuncion sebelum keputusan itu kelmarin bahawa dia ‘pasti sepenuhnya’ bahawa dokumen itu sah. – AFP
