WASHINGTON, 1 SEPT – Mahkamah Amerika Syarikat (AS) kelmarin telah menghalang kerajaan daripada mengusir ratusan kanak-kanak Guatemala, sekali gus menjejaskan tindakan tegas Presiden Donald Trump terhadap migran.
Lebih 600 kanak-kanak tanpa penjaga yang tinggal di AS menghadapi pengusiran ke Guatemala di bawah program perintis yang dirundingkan dengan negara Amerika Tengah itu, menurut dokumen mahkamah.
Namun, keputusan yang telah dikeluarkan kelmarin itu merupakan susulan aduan kecemasan oleh kumpulan hak migran, menangguhkan pengusiran mereka buat sementara dalam tempoh kira-kira 14 hari.
Pusat Undang-undang Imigresen Nasional (NILC) mengkritik tindakan pentadbiran Trump dan menuduhnya telah ‘merampas kanak-kanak yang berisiko dan ketakutan dari tempat tidur mereka serta cuba menghantar mereka kembali ke tempat bahaya’ semasa hujung minggu cuti Hari Pekerja.
“Kami berasa lega kerana Mahkamah menghalang ketidakadilan tersebut daripada berlaku sebelum ratusan kanak-kanak menderita akibat yang tidak dapat diperbaiki,” kata Naib Presiden NILC, Efren Olivares, dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu turut memfailkan saman kelas bagi pihak ratusan kanak-kanak Guatemala yang didakwa berada dalam ‘risiko segera pengusiran secara tidak sah dari AS’.
Mereka juga mendakwa tindakan kerajaan ‘menempatkan kanak-kanak dalam pelbagai bahaya dengan menghantar mereka kembali ke negara di mana mereka bimbang akan penganiayaan serta pengabaian tanggungjawab undang-undang untuk menjaga mereka di AS.’
Keputusan itu menandakan satu lagi kegagalan undang-undang bagi Trump, yang mula memegang jawatan pada Januari dengan janji untuk mengetuai program pengusiran terbesar dalam sejarah, menyasarkan berjuta-juta migran tanpa dokumen sah. – AFP


