Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Qantas didenda AS$59 juta buang pekerja secara haram

    SYDNEY, 18 OGOS — Sebuah mahkamah Australia hari ini menjatuhkan denda sebanyak A$90 juta (AS$59 juta) ke atas Qantas kerana melakukan pembuangan kerja secara haram membabitkan 1,800 kakitangan darat semasa pandemik COVID-19.

    Hakim Mahkamah Persekutuan, Michael Lee, berkata hukuman itu perlu menjadi ‘pencegah sebenar’ kepada syarikat lain yang mungkin tergoda dengan keuntungan kewangan hasil pelanggaran undang-undang pekerjaan.

    Denda berkenaan menamatkan perbicaraan panjang antara kesatuan sekerja dengan syarikat penerbangan itu.

    Boeing 737 Qantas keluar dari Lapangan Terbang Tullamarine Melbourne pada 10 Ogos. – AFP

    Qantas membuat keputusan memberhentikan pekerja terbabit dan mengalih tugas mereka kepada pihak luar pada Ogos 2020, iaitu ketika sekatan pergerakan dan penutupan sempadan dilaksanakan serta vaksin COVID-19 masih belum wujud.

    Mahkamah Persekutuan Australia kemudian memutuskan tindakan Qantas itu sebagai menyalahi undang-undang walaupun syarikat berkenaan mendakwa ia berlandaskan ‘keperluan komersial’ dan rayuan syarikat itu turut ditolak.

    Qantas yang digelar ‘Spirit of Australia’ dan berusia 104 tahun, kini berusaha memulihkan reputasi selepas terjejas dengan kes pembuangan pekerja haram, harga tiket melambung, dakwaan perkhidmatan tidak berkualiti serta penjualan tiket penerbangan yang dibatalkan.

    Mahkamah memutuskan denda itu dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu A$50 juta disalurkan kepada Kesatuan Pekerja Pengangkutan manakala A$40 juta lagi diperuntukkan bagi bayaran masa depan kepada bekas pekerja. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda