Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah benar Sarkozy keluar penjara tunggu rayuan

    PARIS, 11 NOV – Bekas presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dibenarkan keluar dari penjara dan menjalani hukuman penjara lima tahun di bawah pengawasan kehakiman sementara menunggu rayuannya dalam kes konspirasi jenayah, menurut keputusan mahkamah rayuan Paris kelmarin, lapor agensi berita Jerman, dpa.

    Lelaki berusia 70 tahun itu diperintahkan melapor diri ke penjara pada 21 Oktober walaupun pasukannya telah memfailkan rayuan serta-merta terhadap sabitan itu, dan beliau telah menghabiskan tiga minggu lalu di Penjara La Sante di Paris.

    Sarkozy memohon pembebasan bersyarat sejurus selepas mula menjalani hukumannya. Di Perancis, peruntukan itu terpakai bagi banduan berusia 70 tahun ke atas, membolehkan mereka menjalani hukuman di luar penjara tertakluk kepada syarat tertentu.

    Mahkamah rendah mensabitkan Sarkozy pada September kerana mengambil bahagian dalam organisasi jenayah berhubung dakwaan kewangan kempen daripada bekas diktator Libya, Muammar Gaddafi. Kes berkaitan Libya itu berpunca daripada dakwaan bahawa kempen presiden Sarkozy pada 2007 menerima dana haram daripada rejim Gaddafi.

    Walaupun Mahkamah Jenayah Paris tidak menemui bukti dana kempen haram, mahkamah itu menyimpulkan bahawa ahli politik konservatif yang juga sekutu rapat Gaddafi itu sekurang-kurangnya telah berusaha mendapatkan dana daripada pemimpin Libya tersebut. – Bernama/dpa

    Nicolas Sarkozy semasa menuju ke penjara pada 21 Oktoberdi Paris. Beliau dibenarkan keluar penjara tunggu rayuan. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda