BRASILIA, 12 JUN – Mahkamah Agung Brazil kelmarin mencapai majoriti dalam menyokong penguatkuasaan peraturan lebih ketat terhadap media sosial, dalam satu kes penting di Amerika Latin mengenai penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian.
Mahkamah tertinggi negara itu sedang menentukan sejauh mana tanggungjawab syarikat seperti X, TikTok, Instagram dan Facebook untuk menurunkan kandungan haram, serta bagaimana mereka boleh dikenakan tindakan jika gagal berbuat demikian.
Keputusan muktamad para hakim akan menjadi duluan yang memberi kesan kepada puluhan juta pengguna media sosial di Brazil.
Isu utama ialah klausa dalam rangka perundangan dikenali sebagai Rangka Kerja Sivil Internet – undang-undang yang berkuat kuasa sejak 2014 – yang menyatakan platform hanya boleh dipertanggungjawabkan terhadap kerosakan akibat sesuatu kiriman sekiranya mereka mengabaikan perintah mahkamah untuk memadamkannya.
Setakat kelmarin, enam daripada 11 hakim telah menyokong akauntabiliti yang lebih tinggi, bermakna laman media sosial perlu memantau kandungan dan menurunkan kiriman bermasalah atas inisiatif sendiri, tanpa perlu menunggu campur tangan mahkamah.
Seorang hakim menolak peraturan yang lebih ketat, manakala empat lagi masih belum menyatakan pendirian. – AFP
