TOKYO, 6 JUN – Sebuah mahkamah Jepun hari ini telah membatalkan keputusan yang memerintahkan bekas-bekas eksekutif pengendali loji nuklear Fukushima untuk membayar ganti rugi sebanyak AS$92 bilion, yang dianggap sebagai jumlah pampasan sivil terbesar dalam sejarah negara itu.
Empat bekas eksekutif Tokyo Electric Power Company (TEPCO) sebelum ini telah diarahkan pada tahun 2022 untuk membayar sebanyak 13.3 trilion yen dalam satu saman oleh para pemegang saham berhubung bencana nuklear yang dicetuskan oleh tsunami besar pada 2011.
Menurut jurucakap institusi itu kepada AFP, keputusan itu telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Tokyo hari ini.
Pemegang saham berpendapat bencana tersebut boleh dielakkan jika pihak pengurusan TEPCO mengambil kira hasil kajian dan melaksanakan langkah pencegahan seperti meletakkan sumber kuasa kecemasan di kawasan lebih tinggi.
Namun, pihak pembela berhujah risiko tersebut tidak dapat diramal dan kajian yang dirujuk tidak boleh dipercayai.
Pada 11 Mac 2011, tiga daripada enam reaktor di loji nuklear Fukushima Daiichi sedang beroperasi apabila gempa bumi besar dasar laut mencetuskan tsunami dahsyat.
Reaktor-reaktor tersebut mengalami kerosakan teruk apabila sistem penyejuk gagal akibat gelombang yang menenggelamkan penjana sandaran, lalu mencetuskan bencana nuklear paling buruk sejak Chernobyl.
Secara keseluruhan, tsunami yang melanda pantai timur laut Jepun itu telah menyebabkan kira-kira 18,500 orang terkorban atau hilang.
Jumlah ganti rugi 13.3 trilion yen itu bertujuan untuk menampung kos TEPCO bagi melupuskan reaktor, membayar pampasan kepada penduduk terjejas dan kerja-kerja pembersihan pencemaran. – AFP
