Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Mahkamah Rayuan hari ini telah menolak rayuan Muhammad Zulqarnain bin Ajis terhadap hukumannya atas kesalahan rompakan bersenjata.
Keputusan itu telah disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong bersama Hakim Mahkamah Rayuan, Conrad Seagroatt dan Edward Timothy Starbuck Woolley.
Pada 16 Januari 2023, Muhammad Zulqarnain telah mengaku bersalah di Mahkamah Perantaraan atas pertuduhan rompakan bersenjata dan dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun serta 12 kali sebatan oleh Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni.
Menurut Pendakwa Raya, Shamshuddin bin Haji Kamaluddin, kejadian terbabit berlaku pada tengah hari, 9 Januari 2023. Akibat masalah kewangan dan tidak mampu membayar balik pinjaman kepada ibu mertuanya, Muhammad Zulqarnain telah mengambil keputusan untuk merompak sebuah kedai runcit di Jalan Pasir Berakas.
Dia memandu ke kedai itu, memakai topeng dan topi untuk menyembunyikan identitinya dan mengugut pembantu kedai itu dengan tukul, kemudian melarikan wang tunai $240. Pembantu itu telah mencatat nombor pendaftaran keretanya bagi membantu mempercepatkan proses penangkapannya.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kedai runcit dan bank berhampiran merakamkan keseluruhan rentetan kejadian, termasuk tindakan Muhammad Zulqarnain memasukkan wang yang dicuri ke dalam akaun ibu mertuanya. Susulan penahanannya, Muhammad Zulqarnain telah mengaku melakukan jenayah itu.
Dalam rayuannya, Muhammad Zulqarnain, yang mewakili dirinya, memetik bahawa pemenjaraannya akan menyebabkan beban kepada isteri dan anak kecilnya, yang bergantung kepadanya. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mendapati kesusahan keluarga tidak boleh dijadikan faktor penentuan hukuman bagi kesalahan serius tersebut.
Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong, menekankan beratnya jenayah itu, dengan menyatakan ia adalah rompakan bersenjata yang telah dirancang dan dilakukan pada siang hari dengan senjata berbahaya. Memandangkan hukuman minimum berkanun tujuh tahun penjara dan 12 kali sebatan bagi kesalahan ini, mahkamah mendapati tiada alasan untuk menganggap hukuman itu berlebihan.
Rayuannya telah ditolak, dan hukuman asal dikekalkan.


