Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah kekal hukuman

    PUTRAJAYA, 15 Jan – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati yang dijatuhi ke atas sembilan warga Filipina kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong berikutan pencerobohan di Lahad Datu pada 2013.

    Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel lima hakim memutuskan bahawa hukuman mati adalah hukuman yang paling sesuai berdasarkan dapatan fakta-fakta kes.

    “Kami berpendapat bahawa sabitan terhadap mereka adalah selamat,” kata beliau.

    Panel dengan sebulat suara menolak rayuan akhir yang dikemukakan oleh sembilan lelaki terbabit dan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 8 Jun tahun lalu yang mengekalkan sabitan ke atas mereka dan menjatuhi hukuman mati.

    Sebahagian individu yang terlibat dalam rayuan kes pencerobohan Lahad Datu, Sabah dikawal ketat oleh anggota keselamatan ketika dibawa ke Mahkamah Persekutuan Putrajaya, hari ini. – Bernama

    Hakim-hakim lain yang bersidang ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Ma’arop, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan dua orang hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Azahar Mohamed.

    Kesembilan mereka ialah Datu Amirbahar Hushin Kiram, 54, anak kepada Jamalul Kiram yang mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu, Julham Rashid, 70, Virgilio Nemar Patulada @ Mohammad Alam Patulada, 53, Salib Akhmad Emali, 65, Tani Lahad Dahi, 64, Basad H. Manuel, 42, Atik Hussin Abu Bakar, 46, Al-Wazir Osman, 62, dan Ismail Yasin, 77.

    Sementara itu, Hakim Raus juga mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan dan melepaskan 14 tertuduh lain atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan kesalahan-kesalahan berkaitan pengganas berhubung pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo antara 12 Feb dan 10 April, 2013. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda