Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah kekalkan hukuman mati bapa hentak anak damit OKU

    KUCHING, 19 NOV – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap seorang bapa yang didapati bersalah membunuh anak damit lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) berusia dua bulan dengan menghentak tubuh mangsa.

    Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azimah Omar, sebulat suara memutuskan tiada kesilapan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dalam menilai keseluruhan bukti perbicaraan.

    Hakim Azizah berkata keterangan saksi utama termasuk isteri perayu serta bukti perubatan oleh pakar patologi adalah konsisten dan menyokong dapatan bahawa Vincent Marcos, 39, menyebabkan kecederaan maut terhadap mangsa.

    Menurut fakta kes, kejadian berlaku pada 28 April 2016 dan Vincent menggenggam kaki anak damit tersebut sebelum mengangkat dan menghentakkan tubuh mangsa ke permukaan sofa selepas menuduh isterinya curang.

    Mangsa tidak bergerak selepas hentakan itu, namun perayu gagal mendapatkan rawatan segera walaupun diminta oleh isterinya, dengan anak damit tersebut hanya dibawa ke hospital keesokan pagi dalam keadaan sudah meninggal dunia dan terdapat kesan gigitan semut.

    Hasil bedah siasat yang dikemukakan di mahkamah memaklumkan anak damit itu mengalami kecederaan kepala teruk termasuk pendarahan subdural, edema otak serta kontusi yang konsisten dengan hentakan kuat pada permukaan tumpul.

    Pemeriksaan turut menemui beberapa kecederaan lama pada tulang rusuk, klavikel dan femur, yang menurut pakar berlaku dalam tempoh beberapa minggu sebelum kematian dan selari dengan penderaan berulang.

    Mahkamah Tinggi Bintulu pada 2 Ogos 2018 mensabitkan Vincent atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Mahkamah Rayuan pada 26 April 2022, mengekalkan keputusan tersebut. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda