Pelakon Salman Khan bakal berdepan dengan saman kerana tindakan salah laku yang melibatkan seorang wartawan pada tahun 2019.
Memetik laporan Pink Villa, Salman dan pembantu peribadinya iaitu Nawaz Shaikh dikehendaki hadir ke mahkamah pada 5 April lalu.
Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Bombay kemudian menangguhkan perbicaraan yang dikeluarkan oleh mahkamah sivil sehingga 5 Mei akan datang.
Dalam masa sama, peguam yang mewakili Salman telah mengemukakan rayuan memohon pengecualian pelakon filem Bajrangi Bhaijaan ini untuk hadir ke mahkamah.
Sebelum itu Salman telah memohon untuk membatalkan kes saman ini di mahkamah rendah.
Kemudiannya, Hakim Revati Mohite Dere mengarahkan pengadu untuk memfailkan afidavit sebagai jawapan kepada Salman yang mahu kes ini dibatalkan.
Pada tahun 2019, seorang wartawan bernama Ashok Pandey mendakwa dia bersama seorang jurugambar dikasari oleh pengawal peribadi Salman.
Ketika itu dia cuba mengambil gambar Salman yang sedang berbasikal dan telah meminta kebenaran daripada pengawal peribadi tersebut.
Bagaimanapun Salman dikatakan secara tiba-tiba naik angin dan menyerang Ashok selain merampas telefon bimbit miliknya. – Agensi
