Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah keluar waran tangkap terhadap bekas Presiden Yoon

    SEOUL, 10 JULAI – Sebuah mahkamah di Seoul hari ini telah mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol berhubung dekri undang-undang tentera pada Disember lepas, menjadikannya penahanan kedua beliau berkaitan kes itu, lapor Xinhua memetik agensi berita Yonhap.

    Mahkamah Daerah Pusat Seoul mengeluarkan waran itu selepas sesi pendengaran berikutan permohonan oleh Peguam Khas, Cho Eun-suk.

    Yoon menghadapi lima pertuduhan, termasuk melanggar hak anggota Kabinet dengan mengecualikan sebahagian besar mereka daripada satu mesyuarat penting sebelum pengisytiharan undang-undang tentera pada 3 Disember.

    Beliau juga dituduh memalsukan dokumen undang-undang tentera selepas pengisytiharan itu sebelum ia ditandatangani oleh Perdana Menteri ketika itu Han Duck-soo dan Menteri Pertahanan ketika itu Kim Yong-hyun.

    Pertuduhan lain termasuk mengarahkan penyebaran kenyataan palsu kepada media asing, mengarahkan pembantu menghalang penahanannya pada Januari, serta mengarahkan pemadaman rekod panggilan daripada ‘telefon selamat.’

    Yoon menafikan semua pertuduhan semasa sesi pendengaran itu. Beliau kemudiannya dibawa ke Pusat Tahanan Seoul di Uiwang, selatan ibu negara.

    Bekas presiden itu pertama kali ditahan Januari lalu, namun dibebaskan pada Mac selepas Mahkamah Daerah Pusat Seoul membatalkan penahanan berkenaan. – Bernama

    Yoon (tengah) tiba di mahkamah untuk menghadiri perbicaraan di Seoul, Korea Selatan pada 9 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda