Thursday, January 9, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah Korea S lanjutkan waran untuk tahan Yoon

    SEOUL, 8 JAN – Sebuah mahkamah di Korea Selatan kelmarin meluluskan lanjutan waran penahanan terhadap Presiden Yoon Suk Yeol yang berhadapan proses pendakwaan susulan tindakan singkat beliau menguatkuasakan undang-undang tentera, lapor Agensi Berita Yonhap.

    Mahkamah Daerah Barat Seoul meluluskan lanjutan itu atas permintaan penyiasat dari Pejabat Penyiasatan Rasuah untuk Pegawai Kanan (CIO) selepas waran asal tamat pada Isnin, menurut pegawai.

    Cubaan CIO untuk melaksanakan waran berkenaan Jumaat lepas gagal selepas kakitangan keselamatan presiden menghalang penyiasat daripada memasuki kediaman rasmi Yoon di pusat bandar Seoul.

    Walaupun penyiasat tidak mendedahkan tempoh lanjutan waran, dipercayai ia melebihi tempoh biasa tujuh hari, memandangkan cabaran yang dijangka dalam menahan Yoon.

    CIO memohon waran awal pada 30 Disember lepas, mendakwa Yoon terlibat sebagai dalang pemberontakan dan penyalahgunaan kuasa.

    Sehari kemudian, mahkamah sama meluluskan waran itu, menjadikannya kali pertama dalam sejarah waran penahanan dikeluarkan terhadap seorang presiden yang masih berkhidmat.

    Dengan lanjutan ini, CIO dijangka membuat percubaan baharu untuk menguatkuasakan waran penahanan terhadap Yoon dalam masa terdekat. – Bernama/Yonhap 

    Seorang penunjuk perasaan dengan plakad bermaksud ‘Tangkap Yoon Suk Yeol’  semasa perhimpunan berhampiran kediaman presiden berkenaan di Seoul, Korea Selatan pada 6 Januari.  – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda