BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri kelmarin mengadakan Majlis Pembukaan Tadarus Mahkamah-mahkamah Syariah 2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Bangunan Mahkamah Besar dan Mahkamah-mahkamah Syariah di ibu negara.
Hadir pada majlis tersebut selaku tetamu kehormat ialah Ketua Hakim Syar’ie, Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Turut hadir di majlis tersebut, panel-panel hakim, hakim Mahkamah Rayuan Syariah, hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah, pemangku ketua pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, hakim-hakim syar’ie, pendaftar-pendaftar, pegawai-pegawai serta kakitangan Mahkamah Syariah.
Bacaan tadarus dimulakan oleh Yang Amat Arif/Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim. Seterusnya diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran secara bergilir.
Majlis tersebut diselajurkan dengan acara menyungkaikan dan se-terusnya diikuti dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah.
Majlis yang diungkayahkan tersebut merupakan acara keagamaan tahunan yang dikalolakan oleh Mahkamah Syariah bertujuan untuk menyemarakkan lagi bulan yang penuh berkat ini dengan amal ibadah, semata-mata bagi meraih keampunan dan keberkatan daripada Allah SWT.