MOSCOW, 30 MEI – Mahkamah Moscow hari ini menolak permohonan pembebasan seorang pengarah teater yang ditahan kerana lakonan kontroversi mengenai wanita Rusia yang direkrut dalam talian untuk berkahwin dengan ekstremis Islam di Syria.
Yevgeniya Berkovich, yang juga seorang penyair yang menentang pencerobohan Rusia ke Ukraine, ditangkap pada bulan ini dan dihukum penjara sehingga tujuh tahun jika sabit kesalahan ‘membenarkan keganasan.’
Beliau turut dituduh mempromosikan ‘feminisme radikal.’
Hari ini, wanita berusia 38 tahun itu memohon dibebaskan sementara menunggu perbicaraan, tetapi mahkamah di Moscow menolak rayuannya.
Beberapa penyokong berkumpul di mahkamah sebagai tanda sokongan.
Berkovich, yang mempunyai dua anak perempuan angkat remaja, mengatakan beliau risau anak-anaknya akan mengalami ‘gangguan psikologi yang teruk’ akibat perpisahan.
Berkovich dan penulis, Svetlana Petriychuk turut ditangkap berhubung persembahan yang berjudul Finist, the Brave Falcon pada tahun 2019.
Petriychuk juga menghadapi hukuman penjara sehingga tujuh tahun jika sabit kesalahan.
“Saya tidak melakukan sebarang jenayah,” kata Berkovich yang hadir di mahkamah melalui panggilan video dan memakai kemeja kelabu. – AFP