Friday, January 24, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah New York tolak permohonan Trump

    NEW YORK, 10 JAN – Mahkamah Rayuan New York pada Khamis menolak permohonan Presiden Amerika Syarikat (AS) yang bakal dilantik, Donald Trump bagi menangguhkan ketetapan hukuman membabitkan kes sogokan yang dijadualkan pada Jumaat, lapor Xinhua.

    Hakim Jenny Rivera dari Mahkamah Rayuan New York enggan menandatangani perintah itu selepas meneliti permohonan untuk menangguhkan sesi berkenaan, menurut perintah ringkas yang dikeluarkan mahkamah kelmarin.

    “Susulan keputusan Hakim, tiada permohonan yang sedang dipertimbangkan dalam kes ini di Mahkamah Rayuan,” menurut perintah itu.

    Pihak pendakwa dari pejabat peguam Manhattan dalam dokumen mahkamah menyifatkan hujah Trump untuk menangguhkan hukuman berdasarkan konsep kekebalan presiden bakal dilantik sebagai tidak berasas.

    Sementara peguam Trump beralih kepada Mahkamah Rayuan New York dan Mahkamah Agung AS untuk menangguhkan ketetapan menjatuhkan hukuman, kini terpulang kepada Mahkamah Agung untuk membuat keputusan.

    Hakim Ellen Gesmer dari Bahagian Rayuan Mahkamah Agung New York, Jabatan Pertama pada Selasa menolak usaha Trump untuk menangguhkan sesi itu.

    Pada Mei 2024, juri di New York mendapati Trump bersalah atas 34 pertuduhan jenayah, termasuk memalsukan rekod perniagaan untuk menutup pembayaran wang sogokan kepada seorang bintang lucah pada kempen pilihan raya Presiden 2016. – Bernama

    Donald Trump bercakap semasa pertemuan dengan Gabenor Republikan di Mar-a-Lago di Palm Beach, Florida pada 9 Januari. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda