Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah pecat PM Thailand

    BANGKOK, 29 OGOS – Mahkamah Perlembagaan Thailand hari ini telah memecat Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra serta kabinetnya berhubung cara beliau menangani pertikaian sempadan negara itu bersama Kemboja, sekali gus mencetuskan pertikaian politik di kerajaan tersebut.

    Paetongtarn, anak kepada bekas perdana menteri jutawan Thaksin Shinawatra telah digantung daripada jawatan bulan lalu selepas dituduh gagal mempertahankan Thailand dalam satu panggilan telefon dengan bekas pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen, pada bulan Jun yang telah bocor secara dalam talian.

    Panel sembilan hakim itu membuat keputusan enam lawan tiga bahawa beliau tidak mengekalkan piawaian etika yang diperlukan sebagai seorang perdana menteri dan menyingkirkan beliau daripada jawatan tersebut, sekali gus menjerumus Thailand ke ambang krisis politik, dengan ketiadaan calon jelas untuk mengetuai gabungan rapuh yang memerintah di parlimen.

    “Tindakannya telah membawa kepada kehilangan kepercayaan, mengutamakan kepentingan peribadi berbanding kepentingan negara, yang mencetuskan syak wasangka awam bahawa beliau memihak kepada Kemboja serta mengurangkan keyakinan rakyat Thailand terhadapnya sebagai perdana menteri,” demikian menurut keputusan yang dibacakan oleh salah seorang hakim.

    Tertuduh tidak mengekalkan kod etika kelakuan. Tempoh perkhidmatannya sebagai perdana menteri sebenarnya berakhir dengan penggantungan pada 1 Julai.

    Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra semasa sidang media di Rumah Kerajaan selepas dipecat oleh Mahkamah Perlembagaan di Bangkok pada 29 Ogos. – AFP

    Keputusan itu, yang turut membubarkan kabinet Paetongtarn, muncul setahun selepas mahkamah sama menyingkirkan pendahulunya sebagai perdana menteri, Srettha Thavisin, dalam satu kes etika yang tidak berkaitan.

    Kes itu bertumpu pada panggilan telefon beliau dengan Hun Sen, pemerintah lama Kemboja dan bapa kepada perdana menteri semasa negara itu, di mana mereka membincangkan pertikaian sempadan antara kedua-dua negara yang ketika itu sedang memuncak.

    Paetongtarn memanggil Hun Sen sebagai ‘pakcik’ dan merujuk kepada seorang komander tentera Thai sebagai ‘lawannya’, yang mencetuskan reaksi marah di Thailand, di mana angkatan tentera mempunyai pengaruh yang sangat besar.

    Ahli parlimen konservatif menuduhnya tunduk kepada Kemboja dan melemahkan pihak tentera, sementara rakan kongsi utama dalam gabungannya menarik diri sebagai tanda protes, hampir-hampir menjatuhkan kerajaannya.

    Beliau terus bertahan di tampuk kuasa tetapi sekumpulan senator membawa kes itu ke Mahkamah Perlembagaan, dengan hujah beliau wajar disingkirkan daripada jawatan kerana melanggar peruntukan perlembagaan yang mewajibkan ‘integriti yang telus’ dan ‘piawaian etika’ daripada para menteri. Mahkamah menggantungnya pada 1 Julai.

    Pemimpin berusia 39 tahun itu berkata beliau telah berusaha sebaik mungkin untuk bertindak demi kepentingan negara.

    “Niat saya adalah untuk manfaat negara, bukan untuk keuntungan peribadi, tetapi demi kehidupan rakyat, termasuk orang awam dan tentera,” katanya kepada wartawan selepas keputusan mahkamah itu. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda