Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah perintah Park diberkas

    SEOUL, 31 Mac – Presiden Korea Selatan yang disingkirkan, Park Geun-Hye melalui hari pertamanya dalam tahanan hari ini selepas mahkamah memerintahkan penahanannya, dengan para penentangnya mengejek dan para penyokongnya menangis.

    Bekas pemimpin negara itu merenung terus ke depan, ketika cuba mengawal perasaannya ketika dia dibawa ke Pusat Tahanan Seoul melalui deretan mentol lampu sebelum subuh.

    Selepas sesi pendengaran yang lama semalam, mahkamah di bandar itu mengarahkan penahanan Park dalam kaitan dengan skandal rasuah yang mengakibatkan berjuta-juta orang keluar ke jalan raya dan menyaksikan pendakwaannya.

    Para pendakwa belum menyatakan tuduhan rasmi ke atasnya, namun sebelum ini telah mengatakan dia disyaki terlibat dalam rasuah, menyalahgunakan kuasa, pemaksaan dan membocorkan rahsia kerajaan.

    “Adalah wajar dan perlu untuk menahan Park kerana tuduhan utama dapat memberikan alasan kuat dan wujud risiko bukti dimusnahkan,” mahkamah berkata dalam satu kenyataan.

    Bekas presiden Korea Selatan, Park Geun-Hye ketika dibawa ke bahagian tahanan kelmarin. – AFP
    Bekas presiden Korea Selatan, Park Geun-Hye ketika dibawa ke bahagian tahanan kelmarin. – AFP

    Keputusan itu menjadikan Park, 65 tahun, bekas pemimpin ketiga diberkas berhubung rasuah di ekonomi keempat terbesar di Asia itu, yang mana politik dan perniagaan besar telah lama mempunyai hubungan rapat.

    Itu adalah langkah dramatik yang mengaibkan presiden wanita pertama Korea Selatan.

    Parti Demokratik liberal yang dijangka akan memenangi pilihan raya pada 9 Mei untuk memilih pengganti Park berkata dalam satu keterangan bahawa langkah itu menunjukkan “semua sama rata di hadapan undang-undang”.

    “Kami berharap keputusan bersejarah hari ini akan memberikan momentum baru dalam mendedahkan kebenaran tentang skandal pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” tambahnya.

    Namun parti Park sendiri, Parti Kebebasan Korea yang telah menukar namanya dalam usaha untuk menjauhkan daripadanya, menyifatkan langkah itu ‘sesuatu disesali’. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda