Monday, July 14, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah Rayuan batalkan keputusan, kurangkan hukuman

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Mahkamah Rayuan di sini, membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Happy Motoring Co Sdn Bhd untuk membayar ganti rugi $317,757.40 kepada seorang wanita yang mengalami penderitaan dari segi emosi dan kewangan, termasuk risiko kecederaan selepas membeli kereta dari syarikat itu sebaliknya mengurangkan harga ganti rugi itu kepada $5,689.50.

    Wanita itu, Wong Hee Sing @ Bibiana Wong memfailkan saman kepada syarikat itu selepas membeli Honda 1.8 VTI yang didakwanya mengalami kerosakan pada tingkap pemandu dan pemutar tali pinggang dan pernah mengalami kerosakan sebanyak dua kali.

    Akibat kecacatan kereta yang dialami, Bibiana mengalami kehilangan ‘keseronokan pemanduan’, mengalami tekanan yang melampau, kegelisahan dan kesusahan emosi dan mempunyai risiko bagi kecederaan dan kematian.

    Mahkamah Tinggi pada 1 Mei 2017 memerintahkan syarikat itu untuk membayar kos pembaikan, risiko kecederaan serius akibat kecacatan pada kereta itu dan ganti rugi lain kepada Bibiana.

    Happy Motoring yang diwakili Peguam Eugene Loh dan Kamal Shaari dari Firma Guaman Yusof Halim & Partners kemudian membuat permohonan ke Mahkamah Rayuan, yang mana Hakim Mortimer, Leonard dan Burrell memutuskan bahawa kehilangan keseronokan ketika pemanduan bukannya sesuatu yang boleh dibayar dengan ganti rugi.

    Ia bukan seperti percutian.

    Ketiga-tiga hakim turut mengenepikan bayaran ganti rugi lain namun membenarkan tuntutan bagi kegagalan Bibiana menggunakan kereta itu ketika ia mengalami kerosakan sebanyak dua kali.

    Ketiga-tiga hakim turut berpendapat bahawa komen-komen fitnah yang disiarkan oleh Bibiana berpotensi untuk menjejaskan reputasi Happy Motoring dan tidak ada bukti kebenaran dari kenyataan Bibiana itu.

    Kenyataan yang dikeluarkan Bibiana hanyalah kepercayaan dan tanggapannya sahaja.

    Mahkamah Rayuan turut memerintahkan Bibiana untuk membayar kos rayuan Happy Motoring.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda