Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah Rayuan perintah perbicaraan semula kes kemalangan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN – Mahkamah Rayuan pada 1 Disember 2022 telah memerintahkan perbicaraan semula bagi kes kemalangan jalan raya dan tuntutan pampasan bagi kecederaan.

    Perayu dan plaintif dalam tindakan itu ialah Muhammad Fauzi bin Haji Sabi yang menunggang motosikal dalam kemalangan itu.

    Responden Multazimah binti Mohammad Salleh, dan defendan dalam tindakan itu, memandu kereta dalam kemalangan tersebut.

    Tindakan dan rayuan itu berpunca daripada kemalangan antara motosikal dan kereta yang berlaku pada 26 Februari 2016.

    Satu writ dan pernyataan tuntutan telah dihadapkan pada Mac 2019, yang membawa kepada perbicaraan pada Oktober 2020 dan berakhir pada November 2020, dan penghakiman dijadualkan pada Disember 2020.

    Ia telah ditangguhkan dan hakim memberikan keputusan lisan pada Mei 2021, menolak tuntutan plaintif. Ia kemudiannya dibawa ke Mahkamah Rayuan, memohon rayuan terhadap keputusan itu.

    Yang Di-Pertua Mahkamah Rayuan, Hakim Michael Peter Burrell dengan dibantu oleh hakim-hakim Conrad Seagroatt dan Michael Lunn, berkata bahawa persiapan perbicaraan adalah lemah dan bukti serta dapatan berhubung pergerakan kedua-dua kenderaan sebelum perlanggaran itu tidak jelas.

    Mahkamah Rayuan juga mendapati percanggahan dalam penghakiman yang menyatakan bahawa defendan tidak bertanggungjawab sepenuhnya atas kemalangan itu.

    Mahkamah Rayuan kemudian berpendapat bahawa defendan dalam tindakan itu juga patut bertanggungjawab sebahagiannya.

    Walaupun mengakui semua kesukaran dan kesulitan, Mahkamah Rayuan mengarahkan perbicaraan semula, yang akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk mempersiapkan kes mereka dengan lebih teliti.

    Perbicaraan juga diperintahkan untuk didengar oleh hakim yang berbeza, dan tarikh pendengaran dipercepatkan.

    Sementara itu, kos permohonan awal telah diperintahkan kepada perayu dan kos rayuan ditentukan oleh hakim perbicaraan.

    Peguam Lim Chin Wah dari Messrs Ahmad Zakaria & Associates mewakili perayu manakala responden diwakili oleh Peguam Melissa Ang dari Messrs Melissa Ang & Co.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda