SEOUL, 16 MEI – Mahkamah Tinggi Seoul hari ini menolak permohonan doktor dan pelajar perubatan untuk menghentikan rancangan kerajaan yang hendak meningkatkan kuota kemasukan ke sekolah perubatan.
Ia berlaku selepas mogok selama berbulan-bulan yang disertai ribuan doktor di Korea Selatan sebelum ini.
Ribuan pegawai perubatan dilaporkan berhenti bekerja pada 20 Februari lalu, bagi membantah rancangan kerajaan untuk melatih lebih ramai doktor, menyebabkan huru-hara di hospital termasuk pembatalan rawatan.
Berpunca kekurangan dan populasi cepat menua, kerajaan Korea Selatan dikatakan berusaha melatih ratusan lagi doktor setiap tahun, mencetus tindak balas daripada pelajar perubatan junior. Ia membawa kes itu ke mahkamah bagi menyekat rancangan yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan.
Sebuah mahkamah pentadbiran bulan lalu membuat keputusan yang memihak kepada kerajaan. Hari ini, giliran Mahkamah Tinggi Seoul sekali lagi menolak permohonan doktor dan pelajar perubatan.
Permohonan itu “ditolak, kerana telah ditentukan bahawa mereka bukan pihak yang terlibat secara langsung dengan penyelesaian kes ini,” kata mahkamah dalam satu kenyataan.
Walaupun mahkamah mengakui bahawa pelajar perubatan tidak seperti doktor pelatih atau profesor yang layak untuk membuat permintaan itu, ia berkata bahawa peningkatan dalam kuota sekolah perubatan adalah ‘asas kritikal untuk pemulihan penjagaan perubatan penting dan serantau’.
Peguam Lee Byung-cheol, yang mewakili doktor dan pelajar, berkata anak guamnya segera merayu ke Mahkamah Agung. – AFP


