SINGAPURA, 20 FEB – Mahkamah Singapura hari ini telah menangguhkan hukuman mati terhadap seorang banduan Malaysia buat kali kedua hanya beberapa jam sebelum dia sepatutnya dihukum gantung kerana mengedar dadah.
Pannir Selvam Pranthaman, 37, telah dijadualkan untuk hukuman mati di Penjara Changi di bandar itu kerana mengedar 51.84 gram heroin, enam tahun selepas dia pertama kali dihukum gantung.
Bagaimanapun, seorang hakim telah memerintahkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu kelmarin, dengan memetik penangguhannya berdasarkan aduan yang dibuat oleh Pannir kepada badan perundangan Singapura terhadap bekas peguamnya atas tuduhan salah laku, menerusi dokumen mahkamah yang dilihat oleh AFP hari ini.
Berita mengenai penangguhan itu muncul selepas saudara-mara dan penyokong anti-hukuman mati mengadakan acara berjaga malam di Malaysia kelmarin, dengan menyalakan lilin di hadapan kedutaan Singapura di Kuala Lumpur.
“Sungguh lega apabila Pannir tidak dihukum mati pagi ini. Tetapi perjuangan belum berakhir, penangguhan hanya sementara,” kata aktivis Singapura Kirsten Han kepada AFP.
“Kami perlu terus maju dengan gerakan pemansuhan. Kami amat memerlukan moratorium penggunaan hukuman mati di Singapura, dan akhirnya pemansuhan sepenuhnya,” katanya. – AFP
