BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Mahkamah Syariah Negara Brunei Darussalam, kelmarin, telah menghadiri Muzakarah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Seluruh Malaysia 2024 dan perbincangan dua hala bersama Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Muzakarah yang diadakan di Hotel Tenera, Bangi Selangor, Malaysia itu telah dihadiri oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Haji Muhammad Bahrin bin Haji Alias.
Menurut kenyataan yang diterima, muzakarah tersebut merupakan langkah ke hadapan bagi kerjasama antara Brunei dan Malaysia dalam bidang perundangan dan kehakiman Syariah melalui penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara Mahkamah-mahkamah Syariah dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam bidang kehakiman syariah yang telah dilaksanakan.
Muzakarah tersebut dianjurkan oleh Bahagian Pendaftaran Keurusetiaan dan Rekod (BPKR), JKSM yang melibatkan hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah seluruh Malaysia.
Dalam masa yang sama, Yang Arif Haji Muhammad Bahrin juga mengadakan perbincangan dua hala bersama Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Melalui muzakarah dan perbincangan tersebut, diharapkan akan dapat mengeratkan lagi hubungan yang kukuh khususnya di dalam bidang kehakiman syariah di antara Brunei dan Malaysia.