Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah tangguh hukuman pencuri wang

    Oleh Fadley Faisal

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Mahkamah Majistret kelmarin menangguhkan menjatuhkan hukuman untuk mempertimbangkan hukuman wajar bagi seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun selepas dia mengaku bersalah mencuri wang daripada akaun bank tuan rumah menerusi aplikasi mudah alih perbankan dalam talian.

    Muhammad Syukri bin Abdullah Sia @ Sia Chin Chin telah mencuri sejumlah $10,649 dengan memindahkan jumlah berkenaan dalam empat transaksi pada 8 dan 9 Ogos ke satu akaun bank yang boleh diaksesnya.

    Pendakwa Nur Zahidah Farhanah binti Abdul Aziz membongkar bahawa defendan dapat melakukan pemindahan wang disebabkan defendan yang tinggal bersama tuan rumahnya di sebuah rumah di RPN Lambak Kanan, telah membantu mangsa membaiki telefonnya disebabkan proses yang perlahan pada petang 27 Julai lalu.

    Mangsa menyerahkan telefonnya kepada defendan dan pergi membeli makanan.

    Pada masa yang sama, defendan menyelongkar telefon mangsa dan terjumpa butiran akaun bank mangsa dan menyalinnya.

    Dia kembali membantu membaiki telefon dan mengembalikannya kepada mangsa apabila dia pulang.

    Lewat hari itu, defendan mendapat akses ke akaun bank berkenaan menerusi telefonnya dan mendapati bahawa mangsa mempunyai simpanan lebih $10,000.

    Tidak sehingga 8 Ogos apabila defendan mula terdesak untuk membayar hutannya dan memutuskan untuk mencuri daripada tuan rumahnya untuk berjudi.

    Dia memindahkan $5,000 daripada akaun mangsa dan membayarnya ke akaun ejen perjudian dalam talian di bank sama.

    Sekitar 4 petang, defendan sekali lagi melakukannya, kali ini mengambil $4,000 dan sekali lagi membayarnya ke akaun ejen berkenaan.

    Sejam kemudian, defendan melakukannya lagi, kali ini melibatkan $1,500.

    Defendan mengulanginya lagi buat kali terakhir pada 9 Ogos dengan memindahkan $149 ke akaun ejen berkenaan.

    Pada 12 Ogos, mangsa berjumpa pihak bank apabila mendapati dia hanya mempunyai kira-kira $50 dalam akaunnya, yang mana semasa pengeluaran terakhirnya sementara dia memiliki lebih $10,000 dalam akuannya.

    Kakitangan bank membantu mangsa dan memberitahunya mengenai transaksi berkenaan, yang tidak diketahuinya.

    Laporan polis dibuat dan membawa kepada penangkapan defendan.

    Defendan mendakwa bahawa dia akan membayar hutang dan jumlah yang dicurinya daripada mangsa.

    Siasatan polis selanjutnya mengesahkan bahawa defendan tidak memenangi sebarang permainan yang dimainnya.

    Pihak pendakwaan mengulang bahawa mangsa hanya menerima pembayaran pencen dan hanya mempunyai simpanan berkenaan dalam akaunnya dengan tiada sumber wang lain.

    Majistret Syaffina Shahif akan menjatuhkan hukuman pada 21 Disember. Yang mana sebanyak lapan dakwaan akan dibacakan terhadap defendan, yang diakuinya, iaitu mencuri dan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda