Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah tangguh kes rasuah pegawai JIPK 9 Januari

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Mahkamah Majistret hari ini telah menangguhkan kes membabitkan dakwaan-dakwaan terhadap seorang pegawai kanan di Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) yang berdepan dua pertuduhan rasuah, kepada 9 Januari depan.

    Ketua Pegawai Imigresen Kanan JIPK, Seruji bin Haji Setia, 52, didakwa menerima permaidani bernilai lebih $2,000 daripada Daiecharm Decor, sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan tugasan rasmi defendan, sebagai Ketua Bahagian Pas Kerja di JIPK, pada Januari dan April.

    Daripada bukti yang dikumpulkan oleh Biro Mencegah Rasuah (BMR), defendan yang pada masa melakukan kesalahan itu adalah penjawat awam, didakwa memperoleh tiga gulung permaidani dengan anggaran nilai $1,420 daripada Daiecharm Decor, tanpa membuat sebarang pembayaran, pada 9 Januari 2023.

    Dakwaan kedua menyatakan bahawa pada April, defendan sekali lagi memperoleh dua permaidani dengan anggaran nilai $890 tanpa membuat sebarang pembayaran daripada syarikat yang sama.

    Tiada pengakuan dibuat daripada Seruji, yang kini diwakili peguam bela Ahmad Basuni Abas dari Messrs Abraham, Davidson & Co dan Seruji dibebaskan dengan jaminan $10,000 atau dengan dua penjamin tempatan.

    Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menangguhkan kes bagi memberi laluan kepada pihak pendakwaan menyemak bukti dan memuktamadkan pertuduhan susulan siasatan lanjut oleh BMR baru-baru ini.

    Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozaimah binti Abdul Rahman.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda